“Wira tak didendang” – Jururawat ‘Off-Duty’ Jadi Penyelamat Wanita Tercekik Makanan

LocalHealth & Fitness
14 May 2026 • 10:42 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

jururawat selamatkan wanita tercekik

Tindakan pantas seorang jururawat membantu seorang wanita yang tercekik dan sukar bernafas dalam kejadian di Hospital Pantai Ipoh pada 4 Mei lalu meraih pujian ramai.

Menerusi perkongsian pihak hospital, jururawat yang dikenali sebagai Siti Maisyura ketika itu baru sahaja selesai menjalani syif malam dan sedang menunggu temu janji susulan anaknya berhampiran sebuah kafe dalam hospital berkenaan.

Situasi tiba-tiba bertukar cemas apabila seorang wanita yang berada di meja makan bersama ahli keluarganya tercekik serta mengalami kesukaran bernafas.

Dalam keadaan berpakaian kasual serta berbekalkan pengalaman dan latihan sebagai petugas kesihatan, Maisyura bertindak pantas memberikan bantuan kecemasan dengan menggunakan teknik Heimlich Maneuver.

Tindakannya itu berjaya menyelamatkan nyawa wanita berkenaan yang dilihat kembali bernafas seperti biasa beberapa ketika kemudian.

“Dalam detik mencemaskan itu, Maisyura bukan sekadar seorang jururawat, beliau adalah penyelamat,” ujar hospital itu lagi.

Perkongsian mengenai tindakan jururawat berkenaan turut menerima pujian ramai yang menyifatkannya sebagai wira sebenar walaupun sedang berada di luar waktu bertugas.

maisyura

Tindakan luar biasa Maisyura turut diraikan pihak hospital baru-baru ini sempena Hari Jururawat Antarabangsa 2026.

Pihak hospital menzahirkan rasa bangga atas dedikasi dan kecekapan yang ditunjukkan oleh kakitangan mereka.

Sumber: Instagram

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.