Polis Thailand Tular Workout Ketika Bertugas, Netizen Puji ‘Vibe’ Santai Tapi Tetap Profesional

14 May 2026 • 10:55 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Polis Thailand Tular Workout Ketika Bertugas, Netizen Puji ‘Vibe’ Santai Tapi Tetap Profesional

BANGKOK – Aksi bersahaja seorang anggota polis di Thailand ketika sedang bertugas mencuri perhatian ramai selepas videonya tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen dari seluruh dunia.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Thai Enquirer⁠, anggota polis tersebut dilihat melakukan senaman ringan di Lumpinee Park sambil memantau keselamatan orang awam di kawasan taman berkenaan.

Gelagat spontan itu bukan sahaja menghiburkan, malah ramai menyifatkannya sebagai bukti suasana kerja yang lebih santai dan mesra di Thailand.

Seorang netizen turut menyifatkan polis Thailand sebagai antara yang terbaik pernah ditemuinya, malah mengakui suasana dan layanan di negara itu membuatkan ramai pelancong selesa berada di sana.

“Ini Thailand… saya suka vibe, suasana gembira dan orang-orangnya,” tulis seorang pengguna media sosial.

Netizen Puji Sikap Mesra Polis Thailand

Selain terhibur dengan aksi workout tersebut, ramai netizen turut memuji sikap anggota polis Thailand yang dilihat tenang, lembut dan mesra dengan masyarakat.

Malah, ada yang berpendapat sifat mesra dan santai anggota polis di negara itu tidak boleh dianggap sebagai satu kelemahan kerana mereka tetap tegas ketika menjalankan tugas.

“Apa yang saya suka, mereka nampak baik dan gentle, tapi jangan anggap itu satu kelemahan,” komen seorang pengguna.

Video berkenaan kini terus meraih perhatian ramai dengan rata-rata netizen menganggap situasi itu sebagai sesuatu yang mencuit hati, namun tetap menunjukkan anggota polis tersebut serius menjalankan tugasnya. – The Malaysian Update