
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan mencipta pencapaian luar biasa apabila berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Kursk State Medical University di Rusia pada usia seawal 17 tahun.
Iskandar Warid Mohd Nazrul Izad, anak keempat kepada ahli perniagaan Datuk Seri Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad, memperoleh tempat di universiti berprestij Rusia itu menggunakan keputusan percubaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE UK) tahun lalu.
Mohd Nazrul ketika ditemui media berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian akademik luar biasa anaknya.
“Ketika rakan-rakan sebayanya sibuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia telah pun memulakan pengajian di sebuah universiti di luar negara,” katanya.
Iskandar dijadualkan berlepas ke Rusia esok dan akan kembali pada Disember untuk menduduki peperiksaan SPM.
Dedah Mohd Nazrul, potensi akademik Islandar sudah terserlah sejak sekolah rendah lagi, malah dia turut meraih pelbagai anugerah kecemerlangan sepanjang tempoh bersekolah di MRSM.
“Siapa sangka seorang anak dari Beserah mampu melangkah sejauh ini untuk mengejar impiannya menjadi seorang doktor dan mungkin suatu hari nanti, seorang ahli politik.
“iskandar akan mengikuti program selama tujuh tahun untuk melayakkannya bergelar doktor, selepas itu dia boleh memilih sama ada untuk melengkapkan latihan klinikal di luar negara atau di Malaysia,” katanya.
Iskandar Warid ketika ditemui berkata, dia berazam untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang keemasan berkenaan.
“Insya-Allah, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian menjadi pakar kanser suatu hari nanti.
“Saya amat terkesan dengan pemergian datuk kesayangan saya akibat kanser paru-paru. Itulah yang mendorong saya untuk mengkhusus dalam rawatan kanser,” jelasnya.
Remaja bercita-cita tinggi itu juga berharap dapat menjalankan penyelidikan bagi membangunkan terapi kanser yang lebih berkesan dan mampu milik. - Getaran, 24 Februari 2026




