
GOPENG – Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus Sungai Kampar berdekatan sebuah resort di sini dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari tadi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, rakan mangsa yang mandi bersama di sungai tersebut telah menghubungi talian kecemasan 999 dan bantuan dari anggota Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) yang sedang melakukan latihan di lokasi sama.
“Anggota ABPM Tronoh segera menjalankan operasi mencari menggunakan teknik pencarian di permukaan di lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa berjaya ditemui 10 minit kemudian pada jarak 15 hingga 20 meter dari lokasi asal dia terjun,” katanya di sini hari ini.
Katanya, selepas mangsa berjaya dikeluarkan dari sungai, anggota ABPM Tronoh bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng telah memberikan rawatan awal serta melaksanakan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) secara berterusan selama kira-kira satu jam.
Jelasnya, pegawai kesihatan awam telah menjalankan pemeriksaan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sabarodzi memaklumkan, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
The post Remaja lelaki ditemukan lemas di Sungai Kampar appeared first on Kosmo Digital.






