Remaja melecur akibat kemalangan dengan RXZ terpaksa ditidurkan

LocalHealth & Fitness
2 Aug 2026 • 2:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Remaja melecur akibat kemalangan dengan RXZ terpaksa ditidurkan
Laporan Sinar Harian mengenai kanak-kanak melecur akibat kemalangan dengan RXZ.

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki yang melecur 60 peratus selepas motosikal yang dinaiki bersama ibunya dirempuh sebuah motosikal peserta Perhimpunan RXZ Members 8.0 pada Jumaat lalu, kini ditidurkan bagi menjalani prosedur perubatan.

​Bapa mangsa, Talhah Mahmud, 61, berkata, anak sulungnya, Ahmad Asyraf Talhah, 13, yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu ditidurkan sejak tiga hari lalu bagi membersihkan luka melecur pada badan.

​Menurutnya, walaupun anaknya itu telah tersedar pada pagi Ahad, doktor mendapati kadar degupan jantungnya kencang dan perlu terus memantau keadaannya dengan rapi.

​"Doktor memaklumkan tindak balasnya positif, cuma buat masa ini bimbang terdedah kepada jangkitan kuman kerana lapisan kulit luar tiada dan kuman boleh menyerang pada bila-bila masa.

​"Berapa lama perlu berada di wad masih belum pasti, tetapi doktor beritahu akan mengambil masa yang agak lama.

"Satu lagi bekalan tisu untuk menampung bahagian luka masih tiada dan pihak hospital sedang berbincang untuk mendapatkan tisu dan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

​Sinar Harian pada Jumaat melaporkan penderitaan Talhah selepas isteri dan anak sulungnya terlibat dalam kemalangan tragis di Persimpangan Buluh Gading kira-kira jam 11.50 pagi.

​Kejadian berlaku ketika isterinya, Syafirah Salim, 36, yang hamil tujuh bulan bersama Ahmad Asyraf dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Tanjung Sabtu menuju ke Pasar Batu Enam untuk membeli barangan dapur.

​Motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang isterinya dilaporkan dirempuh sebuah motosikal Yamaha RXZ sehingga menyebabkan berlaku tumpahan minyak dan kebakaran.

​Akibat rempuhan itu, Ahmad Asyraf menderita luka melecur 60 peratus dari paras pinggang hingga ke bawah, manakala motosikal yang ditunggang isterinya hangus 100 peratus dan motosikal RXZ terbabit terbakar kira-kira 80 peratus.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved