
SHAH ALAM, 2 OGOS: Remaja lelaki yang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal peserta perhimpunan RXZ Members 8.0 di simpang empat Jalan Buluh Gading, Kuala Nerus, Jumaat lalu, kini ditidurkan bagi menjalani rawatan lanjut.
Mangsa, Ahmad Asyraf, 13, sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), selepas mengalami kecederaan serius dalam nahas yang turut membabitkan ibunya, menurut laporan BH Online.
Bapa mangsa, Talhah Mahmud, 61, berkata anak sulungnya itu sempat sedar seketika pada pagi Ahad, namun doktor mengambil keputusan untuk menidurkannya semula selepas mendapati degupan jantungnya terlalu laju dan memerlukan pemantauan rapi.
Menurut beliau, doktor memaklumkan proses rawatan Ahmad Asyraf dijangka mengambil masa yang panjang, termasuk menunggu tisu bagi merawat kesan melecur yang dialaminya.
Difahamkan, kemalangan berlaku apabila motosikal Honda Beat yang dinaiki Ahmad Asyraf bersama ibunya dirempuh sebuah motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang peserta perhimpunan RXZ Members 8.0.
Rempuhan itu menyebabkan berlaku tumpahan minyak sebelum kedua-dua motosikal terbakar.
Akibat kejadian itu, Ahmad Asyraf mengalami melecur kira-kira 60 peratus pada bahagian badan dari paras pinggang ke bawah. Motosikal Honda Beat yang dinaiki mangsa pula musnah sepenuhnya, manakala motosikal Yamaha RXZ terbabit terbakar kira-kira 80 peratus.





