Remaja Orang Asli maut, abang cedera motosikal terbabas

30 Dec 2023 • 9:27 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan motosikal dinaiki mangsa bersama pembonceng selepas terlibat kemalangan di Kilometer 30, Jalan Lipis-Sungai Koyan pada Jumaat.

image is not available
Keadaan kereta yang terlibat kemalangan dengan.sebuah motosikal.di Kilometer 30, Jalan Lipis-Sungai Koyan pada Jumaat

LIPIS - Remaja Orang Asli maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 30, Jalan Lipis-Sungai Koyan di sini pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Norsarizad a/l Nordin, 19, dari Kampung Chekai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya yang juga pembonceng, Norzarisal a/l Nordin, 20, dilaporkan cedera di dada dan kepala.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, pemandu kereta, lelaki berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasat awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Perodua Kancil dipandu juru kimpal itu dalam perjalanan pulang dari Sungai Koyan ke rumahnya di Klinik Desa Kampung Bertang di sini.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa dari arah Kampung Bertang menghala ke Sungai Koyan dipercayai terbabas dan terbalik ke laluan bertentangan.

"Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu terlanggar dan menyeret motosikal tersebut," katanya.

Azli berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa meninggal di tempat kejadian manakala pembonceng yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.