
SHAH ALAM, 10 NOV: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di Desa Mentari, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata remaja dikenali sebagai M. Kirtna itu kali terakhir dilihat di Jalan PJS 6/6D, Desa Mentari kira-kira jam 6 petang, 8 November.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan remaja berkenaan pada 9 November, kira-kira jam 12.54 tengah malam.
Berdasarkan maklumat polis, Kirtna mempunyai ketinggian kira-kira 153 sentimeter, berkulit coklat, berambut hitam paras bahu, berhidung jambu dan berbibir tebal.
Ketika kali terakhir dilihat, remaja itu memakai kemeja-T lengan pendek berwarna hitam bercorak kuning serta seluar jean hitam.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Wong Chun Wai menerusi talian 010-397 5016 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Polis menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan remaja itu supaya segera tampil membantu usaha mengesannya.





