
CYBERJAYA: Seorang pelajar sekolah swasta maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan dan terbabas di Jalan CV 4 Cyber Valley, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata remaja lelaki berusia 16 tahun itu dalam perjalanan dari sebuah sekolah antarabangsa menuju ke rumahnya pada 6.30 petang sebelum motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di atas permukaan jalan raya.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Cyberjaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis,” katanya.
Norhizam berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat semasa kejadian itu berlaku diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Amira Abu Hassan menerusi talian 019-6026596 atau 03-87774264.






