Remaja perempuan 14 tahun hilang selepas dihantar datuk ke sekolah

27 Jul 2025 • 4:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis mengesan seorang remaja perempuan dipercayai hilang sejak Rabu.

 

GOMBAK - Polis mengesan seorang remaja perempuan berumur 14 tahun yang dipercayai hilang di Taman Ehsan, Kepong sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada datuk remaja itu berkaitan kejadian.

"Menerusi laporan polis, lelaki terbabit menyatakan bahawa dia telah menghantar cucunya, Wong Yee Xuan, 14, ke sebuah sekolah menengah di Taman Ehsan, Kepong kira-kira jam 7 pagi dan menunggu sehingga cucunya masuk ke dalam pagar sekolah.

"Kira-kira jam 12.30 tengah hari, lelaki terbabit datang untuk menjemput remaja itu, dia menunggu sehingga jam 1.30 petang, bagaimanapun cucunya masih belum keluar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, isterinya kemudian menghubungi guru kelas remaja berkenaan untuk bertanyakan hal sebenar.

"Guru kelas memaklumkan cucunya tidak hadir ke sekolah, bimbang dengan keselamatan cucunya, lelaki berkenaan kemudiannya tampil membuat laporan polis.

"Siasatan telah dijalankan di bawah Orang Hilang (OH)," katanya.

Menurutnya, usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja perempuan ini diminta tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved