Remaja perempuan 15 tahun antara 13 ditahan, bantu siasatan mangsa maut dirempuh Vellfire

28 Aug 2026 • 12:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Remaja perempuan 15 tahun antara 13 ditahan, bantu siasatan mangsa maut dirempuh Vellfire

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun antara 13 suspek ditahan susulan insiden kematian seorang mangsa yang dipercayai dilanggar sehingga mati di Bulatan Persiaran Indahpura, Kulai pada 25 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, kemalangan itu dipercayai melibatkan perselisihan antara dua kumpulan kongsi gelap di kawasan berkenaan.

Katanya, mangsa yang maut berusia 17 tahun dan sudah tidak bersekolah, manakala kesemua suspek ditahan berusia antara 15 hingga 31 tahun susulan beberapa serbuan di sekitar Johor dan Selangor dalam tempoh tiga hari sejak hari kejadian.

“Polis menerima maklumat berlaku kemalangan maut di lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura pada pukul 12.38 malam. Siasatan awal dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut selepas penahanan beberapa suspek mendapati, kejadian berlaku apabila mangsa bersama empat rakannya yang menaiki sebuah Perodua Myvi diekori beberapa buah kenderaan ketika perjalanan perjalanan pulang selepas keluar makan.

“Kenderaan dinaiki mangsa dilanggar salah sebuah kenderaan sehingga terbabas, menyebabkan mangsa tercampak keluar sebelum dirempuh kereta jenis Toyota Vellfire. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, susulan itu, kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semakan mendapati beberapa suspek mempunyai rekod jenayah lampau, namun pemeriksaan urin mendapati kesemuanya negatif penyalahgunaan dadah.

“Polis turut merampas 12 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga buah kenderaan iaitu Kia Forte, Toyota Vellfire dan Toyota Hilux selain sebatang besi besbol serta sebatang cota,” katanya.

Menurut Ab. Rahaman, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti mana-mana individu lain yang terlibat dalam kejadian berkenaan.-UTUSAN

The post Remaja perempuan 15 tahun antara 13 ditahan, bantu siasatan mangsa maut dirempuh Vellfire appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved