JOHOR BAHRU – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera selepas dipercayai mengalami serangan sawan sebelum tergelincir dari tingkat dua sebuah flat di Tampoi, di sini, tengah hari Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa ditemukan dalam keadaan sedar dan terbaring di kaki lima di sisi bangunan flat berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami serangan sawan ketika menjenguk ke bawah dari tembok tangga.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang kepala, leher, pergelangan tangan kiri serta kaki kanan.
"Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
"Polis sudah mengenal pasti empat saksi dan akan merakam percakapan mereka bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam kenyataan pada malam Ahad.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.



