
DUNGUN – Aktiviti mencuri kabel elektrik milik sebuah syarikat utiliti bernilai RM8,000 yang disyaki didalangi seorang remaja perempuan berjaya dipatahkan di Kampung Delong, di sini, semalam.
Suspek berusia 18 tahun tersebut berjaya diberkas di Jalan Loji Air Paya Kemudi di sini, pada pukul 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, serbuan dilakukan selepas menerima aduan kecurian kabel elektrik bersaiz 150 milimeter (mm) sepanjang kira-kira 1,000 meter.
“Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum terserempak dengan suspek dan kemudian suspek segera meninggalkan kabel elektrik yang dipotongnya kecil-kecil sebelum cuba melarikan diri dengan kereta Proton Satria Neo namun berjaya digagalkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, berapa peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel elektrik terbabit juga berjaya dirampas.
“Suspek telah direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Remaja perempuan disyaki curi kabel elektrik diberkas appeared first on Kosmo Online.




