Lelaki 85 Tahun Didenda RM4,000 Guna Kekerasan Terhadap Remaja Dengan Niat Mencabul

24 Sep 2026 • 7:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lelaki 85 Tahun Didenda RM4,000 Guna Kekerasan Terhadap Remaja Dengan Niat Mencabul

GEORGE TOWN - Seorang lelaki berusia 85 tahun didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan niat mencabul kehormatannya, minggu lalu.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap Yong Lip Fook selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Mahkamah turut memerintahkan Yong menjalani hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Yong didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap remaja itu dengan niat mencabul kehormatannya di dalam lif sebuah rumah pangsa di Tingkat Paya Terubong, Air Itam, kira-kira jam 4 petang pada 17 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad memohon hukuman berbentuk pencegahan dikenakan terhadap tertuduh, manakala peguam bela Sharmila Shanthini Mogan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan.

Sharmila memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya menghidap penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Beliau turut memberitahu Yong tidak bekerja dan bergantung kepada anak-anaknya untuk menyara kehidupan.

Menurutnya, tertuduh juga memberikan kerjasama dengan hadir ke mahkamah serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.

Anak lelaki tertuduh kemudian membayar denda RM4,000 yang dikenakan mahkamah. - Getaran, 24 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved