KANGAR - Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di sebuah klinik kesihatan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa berusia 13 tahun itu daripada ibunya pada 9.33 malam tadi.
Beliau berkata, wanita berusia 34 tahun itu menyedari anak perempuannya yang menghadapi masalah pembelajaran hilang kira-kira 2.40 petang.
"Semasa di klinik kesihatan tersebut, remaja perempuan ini memberitahu ibunya hendak ke tandas sebelum terus hilang,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Yusharifuddin berkata, remaja itu kali terakhir dilihat memakai kemeja-T sukan sekolah berwarna biru, tudung sekolah putih, seluar tracksuit hitam dan selipar hitam.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjumpai remaja perempuan itu diminta menghubungi balai polis berhampiran.- Bernama






