TUMPAT – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sanggup meminjam pikap milik abangnya tanpa pengetahuan keluarga bagi membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) demi upah RM100 seorang.
Suspek bagaimanapun dicekup dalam Op Taring Wawasan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat awal pagi Isnin.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 11.30 malam selepas anggota Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA membuat rondaan di kawasan Pengkalan Kubor.
Menurut Ahmad Radzi, pihaknya mengesan sebuah Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan di bawah jambatan Kampung Pulau Ular, di sini sebelum pemandunya bertindak memecut laju sebaik menyedari kehadiran polis.
"Anggota kemudian mengejar kenderaan itu sebelum ia berjaya dihentikan di tepi jalan Terbok-Kelaboran, Belukar, di sini.
"Dua lelaki yang berada di bahagian hadapan melarikan diri, namun pemeriksaan menemukan lima lelaki warga asing di tempat duduk belakang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau memberitahu, hasil semakan mendapati lima lelaki terbabit terdiri daripada empat warga India dan seorang Sri Lanka berusia antara 20 hingga 61 tahun.
Ujarnya, susulan itu pihaknya menyerbu sebuah rumah di Kampung Bunohan, di sini kira-kira jam 4 pagi pada Selasa dan menahan suspek utama yang dipercayai menjadi tekong darat.
"Lelaki itu mengaku membawa PATI menggunakan kenderaan tersebut dan dibayar RM100 bagi setiap seorang yang berjaya dihantar ke Stesen Bas Kota Bharu.
"Suspek juga memaklumkan kenderaan itu milik abangnya dan digunakan tanpa pengetahuan pemilik," katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati semua PATI terbabit masuk ke negara ini melalui jalan sungai menggunakan bot dari Thailand sebelum dibawa masuk ke darat.
Ujarnya lagi, mereka turut mengaku membayar ejen di negara asal sebanyak RM3,000 seorang untuk urusan perjalanan ke Thailand dan seterusnya ke Malaysia bagi mencari pekerjaan.
Ahmad Radzi memberitahu, ujian saringan air kencing terhadap remaja terbabit didapati positif methamphetamine, manakala lima warga asing terbabit negatif dadah.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas Mitsubishi Triton, lima pasport, empat telefon bimbit serta wang tunai pelbagai mata wang dengan nilai keseluruhan rampasan RM126,551.68.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.






