reNIKOLA, Sumitomo Corporation bangunkan projek tenaga hijau di Asia Tenggara

LocalEnvironment
13 May 2025 • 3:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

reNIKOLA, Sumitomo Corporation bangunkan projek tenaga hijau di Asia Tenggara

image is not available

13/05/2025 - 15:10

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Mei - Dua gergasi tenaga hijau, reNIKOLA Holdings Sdn Bhd dan Sumitomo Corporation dari Jepun, menjalin kerjasama strategik untuk membangunkan projek tenaga bio berskala besar di Malaysia dan Indonesia.

Kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada teknologi penukaran sisa kelapa sawit kepada bahan bakar boleh diperbaharui yang lebih berkesan.

Antara produk utama yang akan dihasilkan adalah gas hijau biometana, bahan api rendah karbon biometanol dan biometana cecair (LBM).

Inisiatif itu bukan sahaja mengurangkan sisa industri sawit, tetapi juga mengubahnya menjadi sumber tenaga mampan yang berharga.

Pengarah Urusan reNIKOLA, Boumhidi Abdelali menyifatkan kerjasama dengan Sumitomo Corporation sebagai langkah penting dalam merancakkan pembangunan tenaga hijau di rantau ini, khususnya di Malaysia dan Indonesia.

"reNIKOLA berbangga menjadi peneraju dalam inisiatif ini dan kami amat menghargai sokongan daripada rakan kongsi serta pihak berkepentingan yang sama-sama komited menjayakan usaha ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Pavilion Malaysia sempena Expo 2025 Osaka di Kansai, Jepun.

Acara turut disaksikan oleh Setiausaha Agung Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Boumhidi berkata, kerjasama berkenaan menjadi langkah penting ke arah masa depan yang lebih bersih dan lestari, selain meningkatkan piawaian kelestarian dalam industri sawit.

Beliau juga berterima kasih kepada Bioeconomy Corporation atas sokongan dan pengiktirafan terhadap teknologi serta kepakaran reNIKOLA.

"Kami sudah menyertai Program Pemecut Berasaskan Bio oleh Bioeconomy Corporation, yang bertujuan memperkukuh perniagaan bioenergi melalui sains, teknologi dan pelaburan strategik," katanya sambil memaklumkan reNIKOLA kini dalam proses mendapatkan Status BioNexus.

Sementara itu, Ketua Unit Rumusan Tenaga Indonesia No.2 Sumitomo Corporation, Takechi Muramatsu menekankan piawaian baharu dalam inovasi tenaga hijau di Asia Tenggara.

"Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber kedua-dua pihak, kami mahu menetapkan piawaian baharu dalam inovasi, tanggungjawab alam sekitar serta rumusan tenaga rendah karbon di rantau ini, sekali gus memacu peralihan tenaga bersih Asia," ujarnya.

reNIKOLA yang disokong oleh pemegang saham utamanya, B.Grimm Power, merancang untuk membangunkan lebih 40 projek tenaga boleh diperbaharui dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Projek perintis dijangka bermula dalam tempoh enam bulan akan datang, dengan pelaburan awal dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.

Dengan kerjasama tersebut, Malaysia dan Indonesia dijangka menjadi hab tenaga hijau utama di Asia Tenggara, sekali gus menyumbang kepada matlamat global dalam memerangi perubahan iklim. - DagangNews.com

standard