“Repost” Hantaran Konflik Di Gaza, Pemain Nice Dipenjara 8 Bulan

4 Jan 2024 • 2:38 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

“Repost” Hantaran Konflik Di Gaza, Pemain Nice Dipenjara 8 Bulan

Seorang pemain antarabangsa Algeria dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan oleh mahkamah di Nice, lapor ESPN.

Youcef Atal dikenakan hukuman tersebut selepas satu hantaran semula tentang konflik Israel-Hamas yang dibuatnya didakwa telah menimbulkan kebencian agama.

Selain penjara lapan bulan, pemain Nice yang beraksi di Ligue 1 itu juga didenda sebanyak 45,000 Euro (RM228,300).

Pemain Nice dipenjara lapan bulan

Youcef beraksi bersama dengan kelab berkenaan sejak 2018 sebelum digantung pada 1 Oktober 2023 selepas membuat hantaran tersebut.

Pemain tersebut juga dikenakan pergantungan selama tujuh perlawanan oleh Liga Bola Sepak Profesional Perancis (LFP). Hukuman berkenaan bagaimanapun sudah berakhir.

Menurut ESPN, Youcef memadam hantaran tersebut sebelum membuat permohonan maaf secara terbuka.

Pemain berusia 27 tahun itu telah memohon maaf atas perbuatannya itu sehari selepas siaran tersebut dibuat.

“Saya sedar bahawa hantaran yang saya buat telah mengejutkan ramai orang. Bukan niat saya untuk berbuat begitu dan saya mohon maaf,” kata Youcef di Instagram sehari selepas hantaran itu dibuat.

Youcef seterusnya ditahan oleh pihak berkuasa Perancis pada November 2023 sebelum dibebaskan dengan ikat jamin RM406,000.

Pemain itu diletakan dibawah pemerhatian pihak berkuasa sementara menunggu kes tersebut dibicarakan.

Dalam tempoh berkenaan, Youcef tidak dibenar meninggalkan Perancis kecuali bagi mewakili skuad kebangsaan Algeria.

Semasa perbicaraan di mahkamah, beliau sekali lagi menyatakan permohonan maaf di atas tindakan menghantar semula hantaran itu.

Hujah tidak meyakinkan, hukuman tetap dikenakan

Katanya lagi, beliau tidak melihat kandungan penuh video berkenaan sebelum membuat hantaran semula.

Youcef juga berkata hantaran semula video itu dibuat kerana mahu ‘menghantar’ mesej keamanan.

Bagaimanapun, hujah Youcef tidak dapat meyakinkan pihak pendakwa raya yang mengendalikan kes tersebut.

Pemain itu ketika ini tidak berada di Perancis kerana bersama Algeria untuk membuat persiapan menjelang saingan Piala Negara-negara Afrika.

Algeria dijangka akan turun pada 13 Januari ini menentang Ivory Coast dalam perlawanan pertama.