Resipi ekonomi Anwar letak Malaysia antara enam APAC atasi China

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 1:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Resipi ekonomi Anwar letak Malaysia antara enam APAC atasi China

PUTRAJAYA – Pelaksanaan dasar ekonomi mampan, kestabilan politik selain kempen anti rasuah dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 2022 dilihat berjaya meletakkan Malaysia sebagai antara enam ekonomi utama Asia Pasifik (APAC) daripada sekitar 40 negara dalam rantau sama.

Pensyarah Kanan (Ekonomi) Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara, Nurul Ainun Ahmad Atory berkata, unjuran itu sekali gus memberikan isyarat positif terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Katanya, berdasarkan laporan Moody’s Analytics, Malaysia merupakan antara enam ekonomi Asia Pasifik yang dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar lebih pantas berbanding China pada 2026, disokong penglibatannya dalam rantaian bekalan kecerdasan buatan (AI).

“Namun, perbandingan ini merujuk kepada kadar pertumbuhan, bukan bermaksud saiz ekonomi atau keupayaan teknologi Malaysia telah mengatasi China. Ia juga masih merupakan unjuran yang tertakluk kepada perkembangan ekonomi global. Kestabilan politik, kepastian dasar dan tadbir urus yang baik boleh menyokong keyakinan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nurul Ainun berkata, usaha membanteras rasuah pula penting untuk mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber.

Bagaimanapun, katanya, prospek pertumbuhan perlu dilihat secara menyeluruh, dengan mengambil kira permintaan dunia, peranan sektor swasta serta keupayaan industri yang dibangunkan dalam jangka panjang.

Dalam konteks kerjasama ekonomi dengan China termasuk susulan lawatan Perdana Menteri ke negara itu, beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada pelaburan yang benar-benar direalisasikan.

“Manfaatnya perlu diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan peluang perniagaan kepada perusahaan tempatan. Pembangunan modal insan dilihat sebagai penghubung penting antara pelaburan dengan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kita mahu graduan dan pekerja tempatan berpeluang membina kepakaran serta memperoleh pendapatan yang lebih baik.

“Kerjasama universiti, institusi TVET dan industri perlu diperkukuh supaya kemahiran yang dibangunkan sepadan dengan keperluan pekerjaan. Pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih bermakna apabila rakyat dapat merasainya
melalui pekerjaan yang baik, pendapatan yang mampu menampung keperluan keluarga dan peluang yang lebih luas untuk anak-anak mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Resipi ekonomi Anwar letak Malaysia antara enam APAC atasi China appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved