Saya membesar dalam dekad 90an dan pada waktu tersebut PC ialah kelengkapan yang boleh dikategorikan sebagai mewah. Kali pertama saya memiliki PC sendiri ialah sekitar 1998 dan saya menghabiskan ratusan jam membina laman web sendiri menggunakan MS FrontPage, belajar menggunakan Photoshop dan menikmati permainan video C&C Tiberian Sun. Banyak nostalgia zaman remaja saya berlaku semasa menggunakan PC.

Maingear Retro95 ialah PC gaming moden yang jelas menyasarkan golong penggemar nostalgia. Sekilas pandang ia nampak seperti sebuah PC IBM dari dekad 90an. Tetapi ia sebenarnya dilengkapi komponen moden seperti cip terkini Intel atau AMD, kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 5080, memori sehingga 96GB RAM DDR5, storan sehingga 8TB SSD Gen4 NVMe dan sumber kuasa NOCTUA 850W.

Ia mungkin nampak seperti desktop untuk Doom pertama tetapi boleh memainkan Doom: The Dark Ages pada tetapan tertinggi. Maingear Retro95 dijual dalam jumlah terhad dengan harga bermula daripada $1,599 (~RM 6745) sebuah. Yang dijual hanyalah sekadar kerangka sahaja tidak termasuk CRT, tetikus bebola, papan kekunci dan sepasang speaker analog yang berdenyut-denyut sebelum panggilan telefon diterima pada telefon Motorola anda.



