
KUALA LUMPUR: Inisiatif Women in Export (WiEX) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 menjadi platform strategik buat usahawan wanita tempatan menembusi dan memperluas akses ke pasaran antarabangsa.
Penganjuran menerusi kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu menghubungkan usahawan tempatan dengan 300 pembeli luar negara menerusi Program Sourcing Antarabangsa (INSP).
Ketua Pegawai Eksekutif ES Exhibition Services Sdn. Bhd. selaku penganjur MIHAS 2026, Faizal Razak berkata, inisiatif khusus itu memberi ruang pendedahan pasaran yang lebih meluas kepada pempamer tempatan untuk berdaya saing di peringkat global.
“Bagi edisi WiEX tahun ini, kami menyediakan ruang untuk 80 pempamer merangkumi 60 penyertaan tempatan dan 20 penyertaan antarabangsa,” katanya selepas majlis pemeteraian penajaan WiEX @ MIHAS 2026 di Menara Matrade, hari ini.
Sokongan terhadap pemerkasaan usahawan wanita itu turut digerakkan menerusi penajaan rasmi bernilai RM300,000 oleh NOIR Health & Beauty Sdn. Bhd. (NOIR).
Sementara itu, pengasas NOIR, Eriyca Baiduri Abd Rashid berkata, penglibatan syarikatnya dalam platform berkenaan selari dengan misi memperkasa usahawan tempatan serta pelan peluasan perniagaan syarikat ke peringkat global.
“NOIR dibina dengan mengangkat martabat wanita dan kerjasama ini menjadi landasan untuk membantu membuka mata lebih ramai usahawan wanita bahawa peluang untuk melangkah ke pasaran antarabangsa amat luas.
“Memasuki tahun ke-10 dalam industri, NOIR sendiri bersedia memanfaatkan platform eksport ini dengan sasaran hasil eksport melebihi RM600 juta menjelang 2029 menerusi tumpuan awal di pasaran Indonesia dan Singapura,” katanya. –UTUSAN
The post WiEX platform usahawan wanita tempatan tembusi pasaran antarabangsa appeared first on Utusan Malaysia.






