
KUALA LUMPUR – Inisiatif Women in Export (WiEX) menjadi platform baharu untuk melonjakkan usahawan wanita tempatan ke pasaran antarabangsa menerusi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2026.
Inisiatif dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu menghubungkan usahawan tempatan dengan 300 pembeli luar negara melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).
Ketua Pegawai Eksekutif ES Exhibition Services Sdn. Bhd. selaku pengurus acara Mihas 2026, Faizal Razak berkata, WiEX memberi ruang kepada pempamer tempatan mendapatkan pendedahan pasaran lebih luas selain meningkatkan daya saing di peringkat global.
“Bagi edisi WiEX tahun ini, kami menyediakan ruang untuk 80 pempamer merangkumi 60 penyertaan tempatan dan 20 penyertaan antarabangsa.
“Sasaran jualan keseluruhan Mihas 2026 diunjur mencecah RM4.5 bilion,” katanya selepas majlis pemeteraian penajaan WiEX @ Mihas 2026 di Menara Matrade kelmarin.
Sementara itu, usaha memperkasa usahawan wanita dalam sektor eksport turut mendapat sokongan penajaan rasmi oleh NOIR Health & Beauty Sdn. Bhd. (NOIR).
Pengasas NOIR, Eriyca Baiduri Abd. Rashid berkata, penglibatan syarikat itu selari dengan misi memperkasa usahawan tempatan serta membuka ruang kepada lebih ramai wanita meneroka pasaran antarabangsa.
“NOIR dibina dengan mengangkat martabat wanita dan kerjasama ini menjadi landasan untuk membuka mata lebih ramai usahawan wanita bahawa peluang untuk melangkah ke pasaran antarabangsa amat luas.
“Memasuki tahun ke-10 dalam industri, NOIR sendiri bersedia memanfaatkan platform eksport ini dengan sasaran hasil eksport melebihi RM600 juta menjelang 2029 menerusi tumpuan awal di pasaran Indonesia dan Singapura,” katanya.-KOSMO! ONLJNE
The post WiEX pacu wanita ke pasaran global appeared first on Kosmo Digital.






