
Belum sampai setahun Realme 12 Pro+ dilancarkan, kini Realme telah melancarkan sekuel terbaru, iaitu siri Realme 13 Pro yang terdiri daripada dua model serupa iaitu Realme 13 Pro dan 13 Pro+. Model Realme 13 Pro+ adalah model yang lebih tinggi dan macam generasi sebelum ini, kelebihan model Pro+ ini adalah ia memiliki kamera telefoto periskop dengan kemampuan zum jauh.
Namun, kali ini Realme telah menambah keupayaan fotografi AI yang dapat menawarkan imej lebih baik. Harganya pun kini lebih mahal, meningkat RM200 berbanding Realme 12 Pro+ terdahulu. Oleh itu, adakah naik taraf yang dibawakan memberikan alasan yang kuat untuk Realme menaikkan harganya?
Dalam artikel ini, saya nak kongsikan pengalaman dan pendapat saya menggunakan Realme 13 Pro+.
Spesifikasi Realme 13 Pro+
- SoC: Qualcomm Snapdragon 7s Gen 2
- RAM: 12GB
- Storan: 512GB
- Skrin: AMOLED, 6.7-inci, HD Penuh, 120Hz, 2,000 nits
- Kamera Utama: 50MP OIS Sony LYT-701
- Kamera telefoto periskop 50MP Sony LYT-600
- Kamera Ultralebar: 8MP
- Kamera Hadapan: 32MP
- Bateri: 5,200mAh
- Pengecas: USB-C 80W
- Audio: Speaker Stereo
- OS: Realme UI 5.0, Android 14
Rekaan atau rupa lebih elegan

Seperti biasa, kita mulakan dengan rekaan. Realme 13 Pro+ ini masih mewarisi rekaan Realme 12 Pro+ sebelum ini, tampil dengan bulatan besar di belakang di bahagian modul kamera dan skrin melengkung berukuran sama. Namun, sesuatu yang baru adalah, pada kemasan panel belakangnya. Realme 13 Pro+ kini menggunakan kemasan baharu berwarna emas yang katanya diinspirasi daripada seni Monet, memang berikan sentuhan lebih elegan. Sekilas pandang, nampak macam marmar pun ada.

Daripada segi tekstur panel belakang itu sendiri, teksturnya terasa lembut di tangan dan seakan sama dengan tekstur di Infinix Zero 30 yang saya pernah reviu sebelum ini. Di modul kamera pula, saiz bulatan dilihat masih tidak berubah, tetapi model 13 Pro+ ini kini ditambah dengan perkataan HYPERIMAGE+ untuk menunjukkan naik taraf pada sistem kameranya. Itu akan diceritakan lebih banyak nanti.

Walaupun rekaan telefon ini nampak cantik, bingkai telefon ini agak nipis dan susah nak genggam dengan baik disebabkan skrinnya yang melengkung. Malah, bingkai telefon juga terasa licin bila dalam tangan, jadikan saya tak berapa yakin nak gunakan telefon tanpa sarung. Mujurlah Realme ada berikan sarung dalam kotak dan uniknya ia ada tekstur yang macam kulit. Sedap sikit nak pegang.
Kualiti warna skrin sedikit kebiruan secara default

Berkenaan skrin, panel paparan yang digunakan Realme 13 Pro+ adalah AMOLED dan pada tetapan default, ia gunakan mod warna 'vivid'. Akan tetapi, saya tak berapa gemar warna pada mod ini kerana tona warnanya lebih kepada biru dan secara peribadi saya lebih suka mod 'Cinematic' di bawah mod Pro. Tona warna nampak lagi warm, serta keseluruhan warna lagi terang dan cantik.
Tiada masalah pada kelajuan skrin dan ia terasa lancar serta responsif. Tapi, perlu diingatkan yang panel paparannya bukan jenis LTPO, jadi hanya sokong 60Hz atau 120Hz. Tak ada kadar penyegaran adaptif untuk jimat tenaga.
Mungkin tidak ramai yang kisahkan tentang haptik, tetapi saya nak tekankan yang maklum balas haptik pada telefon ini terasa premium bila menatal atau menaip, dan tak seperti telefon-telefon lain dalam segmennya.
Prestasi masih berkelas pertengahan

Beralih pada bahagian prestasi, saya tidak mengalami sebarang masalah lag atau kelengahan dengan Realme 13 Pro+ ini. Telefon terasa lancar dan mampu untuk jalankan pelbagai aplikasi dengan baik. Pada kebanyakan masa, saya gunakannya untuk melayari media sosial, menstrim video atau bermain game, dan semuanya rasa lancar tanpa sebarang lag berlaku.
Telefon ini digerakkan oleh cip Snapdragon 7s Gen 2, iaitu cip sama yang digunakan pada model generasi lepas. Kalau nak kata cip ini terlalu berkuasa itu tidaklah sebab hanya berkelas pertengahan, tetapi memadai pada penggunaan saya.

Kalau main game ringan Mobile Legends memang lancar. Tetapi walaupun lancar, grafik yang disokong sampai 'High' sahaja, tidak boleh ditetapkan pada 'Ultra'. Kalau game berat macam Genshin Impact, barulah nampak jelas telefon ini kurang berkuasa. Game masih boleh dijalankan, tapi grafik kena turunkan ke 'Low' dengan 30fps untuk pengalaman bermain yang lagi lancar. Kalau main dengan tetapan Medium dan 60fps, memang tersekat-sekat dan tak boleh main.

Bagaimanapun, apa yang saya kagum adalah, telefon tak rasa panas walaupun main dalam tempoh lama. Ini mungkin disebabkan Realme melengkapkan 13 Pro+ ini dengan kebuk wap atau vapor chamber yang lagi besar berbanding generasi sebelumnya.
Bagi anda yang nak tahu hasil ujian penanda aras, berikut saya sertakan hasil ujian Realme 13 Pro+ ini peroleh di Geekbench 6 dan juga 3DMark.
Markah yang diperoleh Realme 13 Pro+ ini sebenarnya lebih kurang sama dengan Realme 12 Pro+ di Geekbench 6 dan 3D Mark. Jadi, boleh dikatakan tiada kenaikan prestasi berbanding generasi lepas, yang juga sesuatu yang tidak mengejutkan disebabkan penggunaan cip yang sama.

Sistem kamera dengan fotografi AI

Sama macam generasi lepas, Realme 13 Pro+ ini turut diiklankan didatangi dengan sistem kamera hebat dan kali ini menggunakan seni bina HYPERIMAGE+ dikuasakan AI. Kalau tengok daripada segi perkakasan, kamera utamanya masih ada kiraan megapiksel 50MP, tetapi gunakan sensor baru Sony LYT 701, manakala kamera telefoto periskop pula adalah 50MP guna sensor LYT 600. Kamera ultralebar pula tidak berubah 8MP.

Menangkap menggunakan kamera utamanya berikan hasil imej tajam dengan penghasilan warna yang cantik. Di kawasan cerah, tahap HDR juga dapat dikendalikan dengan baik di kamera utamanya. Tetapi hasil gambar malam kamera utama sedikit kurang memuaskan kerana gambar nampak gelap dan butiran tak dapat dikekalkan.
Saya juga perasan yang sewaktu menangkap, kadangkala mengambil masa sedikit lama untuk gambar diproses. Untuk lebih jelas, berikut adalah hasil tangkapan daripada kamera utama:
Kamera utama
Bagi kamera ultralebar pula, hasilnya ok ok sahaja dan kualitinya tidaklah setajam kamera utama. Saya juga tekankan yang warna kamera ultralebar dan kamera utama berbeza sedikit, dengan hasil daripada kamera ultralebar ada tona warna yang lebih warm, manakala kamera utamanya lebih natural.
Kamera ultralebar





Kamera periskop boleh zum jauh, tapi kurang memuaskan
Prestasi zum telefon ini sebenarnya tidak berubah berbanding model sebelum ini. Lensa telefoto periskop Realme 13 Pro+ mampu mengezum sehingga 6x dengan kualiti lossless dan sehingga 120x secara digital. Hasil imej zum jauh 6x atau sehingga 30x masih buahkan imej yang masih jelas, tetapi saya dapati yang tahap HDR-nya tidak berapa konsisten.

Ini kerana, apabila zum 6x atau lebih daripada itu, kadangkala gambar ditangkap tanpa HDR, lantas mengakibatkan keseluruhan gambar kelihatan gelap dan suram. Boleh lihat bahagian langit pada imej zum 6x nampak gelap, jauh berbeza dengan gambar zum 3x yang kelihatan lagi cerah. Ini mungkin sesuatu perkara yang Realme boleh perbaiki pada model akan datang.
Jika anda tertanya bagaimana hasil zum sehingga 120x, macam biasa gambar akan ada banyak noise dan kelihatan kabur, tetapi masih berguna kalau nak nampakkan kepada ada perkataan yang terlalu jauh.
Ciri yang terdapat di mod Street

Sistem kamera Realme 13 Pro+ turut ada mod 'Street' dan ia sama sahaja tawarkan zum sampai 6x dengan kiraan mm, boleh zum sehingga 144mm. Lagi perkara yang ada dalam mod ini adalah anda boleh pilih untuk tukar fokus kepada manual dengan boleh melaraskan menggunakan slider yang ada.

Terdapat juga fungsi Auto Zoom yang saya rasakan berguna kalau anda mahukan tangkapan zum yang cepat, kerana anda hanya perlu tap sekali dan kamera akan mengezum 2x pada subjek.
Hasil kamera hadapan

Selfie pula boleh ditangkap menggunakan kamera 32MP. Hasil daripadanya agak baik dan jelas, cuma boleh nampak warna kulit tidak berapa asli dan sekata sangat sebab ada bahagian kulit yang nampak kemerah-merahan.
Fungsi AI baharu di sistem kamera

Selain perubahan perkakasan kamera, tambahan ciri terbaru untuk model Realme Pro kali ini adalah fungsi AI. Ada beberapa ciri yang diperkenalkan dan antaranya adalah AI Ultra Clarity. Fungsi ini membuatkan warna lagi menyerlah dengan menggelapkan kawasan gelap pada gambar.




