Rexy kecewa dua wakil negara gagal manfaat peluang

16 Dec 2023 • 11:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rexy Mainaky

PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky kecewa apabila kedua-dua wakil negara tidak memanfaatkan peluang untuk menang perlawanan pertama peringkat kumpulan pada aksi Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023 di Hangzhou, China.

Beliau berkata, beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sepatutnya menang permainan pembukaan yang mungkin boleh membuka peluang mereka untuk melangkah ke separuh akhir.

Mengulas prestasi Aaron-Wooi Yik, Rexy berkata, beliau kurang berpuas hati dengan corak permainan juara dunia 2022 itu yang dilihat perlahan dan terlalu bertahan tanpa serangan berbisa.

“Saya lihat Aaron-Wooi Yik bermain perlahan, permainan terlalu defensif, tiada perubahan smash yang menyengat, jadi semua itu tidak kena bagi saya,” katanya selepas Mesyuarat Majlis BAM.

Aaron-Wooi Yik mengakhiri kempen keempat mereka dalam kejohanan berkenaan di tempat tercorot Kumpulan A selepas tewas kesemua perlawanan peringkat kumpulan.

Mengenai persembahan Tang Jie-Ee Wei, pakar beregu dari Indonesia itu tanpa berselindung menyifatkan permainan pasangan beregu campuran itu sangat teruk dan seolah-olah hilang idea ketika tumpas kepada pasangan keempat dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 10-21, 13-21, pada aksi pembukaan Kumpulan A.

“Ee Wei ada pemikiran sendiri, Tang Jie ada pemikiran sendiri, jadi mereka main bukan sebagai pasangan beregu, tetapi ini saya kritik mengenai perlawanan pertama mereka.

“Kalau perlawanan kedua dan ketiga, persembahan sangat baik kecuali semalam sayang sekali mereka tidak dapat mencuri peluang kerana pada set ketiga itu paling nampak Ee Wei tiada stamina, dan Tang Jie bingung nak main apa,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved