
KEJAYAAN menamatkan kemarau 36 tahun pingat emas acara regu berpasukan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membawa ganjaran lumayan buat skuad sepak takraw negara.
Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memperuntukkan insentif bernilai RM160,000 kepada pasukan Golden Tigers sebagai penghargaan atas kejayaan membawa pulang satu pingat emas dan satu perak pada temasya di Jepun itu.
Lebih manis, kejayaan bersejarah membolehkan PSM turut menerima sumbangan bernilai RM50,000 daripada McDonald’s Malaysia khusus untuk pembangunan sukan sepak takraw negara.
Selain insentif tunai, wira negara yang meraih pingat emas di Jepun itu turut menerima kepingan syiling emas 999.9 seberat enam gram setiap seorang serta baucar beli-belah sumbangan rakan strategik PSM, Kumpulan Telekom Malaysia (TM Group).
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, badan induk itu mengambil inisiatif mendapatkan dana sendiri bagi menghargai pengorbanan pemain, selain ganjaran yang disediakan kerajaan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
“Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah sepak takraw Malaysia kita memberikan penghargaan kepada pemain dengan jumlah yang agak besar.
“Walaupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan insentif menerusi SHAKAM, jawatankuasa PSM berpendapat persatuan juga wajar mengambil inisiatif sendiri bagi menghargai jasa mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, sumbangan RM50,000 itu menunaikan komitmen yang dibuat sebelum temasya berlangsung sekiranya skuad negara berjaya meraih pingat emas.
“Skuad negara telah memberikan rakyat Malaysia satu detik yang amat membanggakan. Di sebalik pencapaian ini ada bertahun-tahun latihan, pengorbanan dan semangat berpasukan, serta sokongan keluarga, jurulatih dan pengurusan yang sentiasa bersama mereka.
“Kami berbesar hati menunaikan janji ini dan berharap sumbangan tersebut dapat membantu PSM membimbing lebih ramai bakat muda untuk melangkah lebih jauh dalam sukan sepak takraw,” katanya semalam.
The post Rezeki buat wira sepak takraw negara appeared first on Kosmo Online.






