RHB Investment jangka projek South Quay Square pemacu utama pendapatan segmen kerja dalaman Sunway Construction

Business & Finance
12 Jul 2023 • 12:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHB Investment jangka projek South Quay Square pemacu utama pendapatan segmen kerja dalaman Sunway Construction

diyana

12/07/2023 - 12:26

KUALA LUMPUR 12 Julai - Projek South Quay Square dijangka menjadi pemacu utama pendapatan Sunway Construction Group Berhad bagi segmen kerja dalamannya, kata RHB Investment.

Firma penyelidikan itu menganggarkan sumbangan projek di Bandar Sunway itu menyumbang 16%, 16% dan 7% kepada keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 sehingga 2025 (FY23-25).

Firma itu berkata demikian selepas melawat projek South Quay Square yang teridiri daripada dua menara pejabat, kawasan runcit dan universiti.

“Sunway Construction adalah pilihan utama kami dalam sektor pembinaan, berdasarkan usahanya menceburi kerja perindustrian (terutamanya pusat data), mengurangkan risiko penurunan daripada kerja infrastruktur awam,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Mengulas lanjut projek South Quay Square, RHB Investment berkata ia siap 15% sehingga 16% pada akhir suku pertama (anggaran siap suku keempat 2025), di mana buku pesanan yang tidak dibilkan bagi bahagian projek itu ialah RM1.1 bilion, terbesar di bawah buku pesanan dalamannya pada 48%.

Sementara itu, kerja dalaman daripada syarikat induknya membentuk kira-kira 39% daripada keseluruhan buku pesanannya sebanyak RM6.1 bilion, berdasarkan anggaran firma tersebut.

Di samping itu, firma itu berkata Sunway Construction mempunyai tenaga kerja yang mencukupi pada 600 hingga 800 pekerja.

“300 pekerja yang tidak digunakan membolehkannya memanfaatkan bekalan tambahan dengan mudah apabila projek tersebut dan projek lain yang sedang dijalankan mencapai fasa kerja intensif, mengurangkan risiko kelewatan yang ketara,” tambahnya.

Dari sudut ESG, RHB Investment berkata sistem penyejukan kawasan (DCS) bernilai RM40 juta akan dibina untuk projek South Quay Square melalui kerjasama antara Sunway Construction dan penyedia rumusan tenaga bangunan, ENGIE Asia Tenggara .

Menurutnya, DCS akan menyediakan rumusan penyejukan yang cekap tenaga dan sejajar dengan tumpuan Sunway untuk mengurangkan jejak karbon.

“Pemangkin penilaian semula selanjutnya termasuk lebih banyak kemenangan kerja daripada ruang pusat data, serta pelancaran projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas yang lebih pantas daripada jangkaan,” tambahnya.

Firma itu mengekalkan anggaran pendapatan dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM2.05 sesaham.

Pada waktu penulisan, saham Sunway Construction tidak berganjak dari harga ia dibuka hari ini pada RM1.70 dengan modal pasaran sebanyak RM2.2 bilion. - DagangNews.com