RHB Investment ramal MGB bakal raih lebih banyak kontrak bina rumah mampu milik di Selangor
herman
14/05/2024 - 12:28
KUALA LUMPUR 14 Mei - MGB Berhad berkemungkinan meraih lebih banyak projek bagi membina perumahan mampu milik di Selangor, kata RHB Investment Bank.
Menurut firma penyelidikan itu, ia susulan pengumuman terbaharu Kerajaan Negeri Selangor yang menyasar untuk membina lebih 200,000 Rumah Selangorku menjelang 2028.
Jelas RHB Investment, ketika ini terdapat kira-kira 7,200 unit di bawah naungan MGB daripada 45,000 buah rumah Selangorku yang dibina oleh kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shaari sejak 2018.
"Setelah usaha niaga pratuangan MGB di Arab Saudi melebarkan sayapnya, ditambah pula dengan kemungkinan kumpulan ini meraih lebih banyak kerja perumahan mampu milik di Selangor, penilaiannya dianggap murah kerana P/E FY25F 7.6x yang diberi adalah -1SD bawah purata lima tahun.
"Faktor pemangkin melibatkan pembangunan projek hartanah baharu di Johor, di mana MGB sudahpun mempunyai dua projek iaitu Laman Bayu (Batu Pahat) dan Pangsapuri Saujana Indah (terletak kira-kira 15km dari kompleks kastam, imigresen & kuarantin Johor Bahru).
"Risiko utama termasuklah pelancaran hartanah yang lebih lambat dan pesanan pembelian produk pratuang yang lebih rendah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

RHB Investment anggarkan buku pesanan belum bayar terkini MGB mencecah sekitar RM1.2 bilion, dengan mengambil kira kerja terbaharu yang diraih bernilai RM207 juta berbanding sasaran penambahan kerja FY24F RM500 juta untuk projek D’Island Residence pada bulan Mac.
Katanya, perkara ini bermakna perolehan dapat dijana sepanjang dua tahun seterusnya.
"Syarikat induk LBS Bina merancang untuk melancarkan 10 projek dengan jumlah GDV RM2.3 bilion pada FY24. Bank tanah milik LBS seluas kira-kira 2,767 ekar juga patut memberi peluang pembinaan akan datang kepada MGB dalam jangka Panjang," jelasnya.
Melihat ke hadapan, firma penyelidikan itu meramalkan kerja-kerja yang sedia ada di KITA@Cybersouth dan projek Idaman akan berkembang lebih maju, lantas mendorong pertumbuhan perolehan FY24.
"Saranan Beli dikekalkan, harga sasar (TP) baharu mencecah RM1.16 daripada RM1.13, potensi kenaikan 45% dan kadar hasil dividen sekitar 3% untuk FY25F.
"Kami menjangka untung teras 1Q24 akan menaik 18-28% YoY (+5-12% QoQ), dengan kemungkinan mencapai RM14-15 juta (untung teras 1Q23: MYR11.8j).
"Kenaikan ini dijangka disebabkan oleh bil peringkat siap lebih banyak yang diterima daripada kerja-kerja yang dijalankan, dan khususnya dibantu oleh keadaan buruh yang kondusif dan harga bahan mentah terkawal," ujarnya. - DagangNews.com




