RHB Investment yakin sektor pembinaan masih memiliki faktor pendorong utama kukuh

Business & FinanceProperty
13 Mar 2024 • 11:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHB Investment yakin sektor pembinaan masih memiliki faktor pendorong utama kukuh

diyana

13/03/2024 - 11:41

KUALA LUMPUR 13 Mac - RHB Investment yakin sektor pembinaan masih memiliki faktor pendorong utama yang kukuh tahun ini disokong oleh hartanah perindustrian yang terus berkembang dan jangkaan pelancaran projek infrastruktur seperti transit aliran ringan (LRT) dan tebatan pada bulan-bulan akan datang.

Kekal dengan pendirian ‘overweight’ ke atas sektor ini, firma penyelidikan itu berkata antara projek yang dijangka akan membuka tirai pembinaan pada bulan-bulan akan datang termasuk LRT Pulau Pinang, projek tebatan banjir di seluruh negara dengan peruntukan RM11.8 bilion di bawah Bajet 2024 dan pembinaan semula lima buah stesen LRT3.

Bagi transit aliran massa 3 (MRT3) pula, firma tersebut meramalkan projek ini akan mula dibina selepas suku keempat tahun ini memandangkan MRT Corp hanya akan memuktamadkan pengambilalihan tanah pada suku ketiga.

Sementara pasaran menunggu pelancaran sedemikian, RHB Investment berkata banyak projek sektor swasta mungkin akan terus berkembang, terutamanya dalam ruang perindustrian, yang mana nilai urus niaga untuk hartanah perindustrian meningkat 13.1% YoY pada tahun 2023.

“Apabila diteliti lebih lanjut, bekalan baru yang dirancang bagi hartanah perindustrian menyaksikan pertumbuhan cemerlang hampir 200% untuk mencapai 1,372 unit (2022: 468 unit ) – ini sepatutnya membuatkan kontraktor terus sibuk.

“Pelaburan asing ke Malaysia juga seharusnya berpotensi membawa permintaan untuk pembinaan kilang dan gudang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Di samping itu, RHB Investment berkata faktor pemangkin penting buat sektor ini ialah permohonan maklumat mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang memakan masa lebih singkat daripada jangkaan.

Firma penyeldikan itu menyarankan pelabur supaya memilih kaunter yang mempunyai kelayakan dalam projek infrastruktur awam tempatan sambil masih mempunyai pendedahan yang baik – sama ada dalam pasaran luar negara atau pekerjaan industri swasta – di samping mempunyai kunci kira-kira sihat (tunai bersih atau kedudukan penggearan bersih terurus).

Oleh itu, syarikat yang menjadi pilihan utama RHB Investment dalam sektor ini adalah Gamuda Bhd (harga sasaran [TP]: RM6.46, Sunway Construction Group Bhd (TP: RM3.34) dan Kerjaya Prospek Group Bhd (RM2.15).

“Gamuda mempunyai kehadiran yang besar di luar negara sementara masih lagi aktif dalam pasaran tempatan.

“Kerjaya Prospek dan Sunway Construction bukan sahaja mempunyai perancangan projek yang mantap daripada urus niaga pihak berkaitan dengan firma induk mereka, tetapi juga terlibat dalam kerja-kerja perindustrian,” katanya. - DagangNews.com