RHB lantik Nurjesmi sebagai Pengarah Urusan Perbankan Borong berkuat kuasa 1 Julai 2025

30/05/2025 - 10:10
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 30 Mei – RHB Bank Bhd melantik Nurjesmi Mohd Nashir sebagai Pengarah Urusan Perbankan Borong, berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Pelantikan itu juga adalah bagi menggantikan Datuk Fad’l Mohamed yang kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd.
Nurjesmi memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam perbankan dan pasaran modal, meliputi perbankan korporat, perbankan pelaburan, dan pembangunan pasaran.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dari Syracuse University, New York dan Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, pandangan pasaran dan kepimpinan terbukti menjadikan beliau individu yang tepat untuk menerajui segmen Perbankan Borong dalam fasa pertumbuhan seterusnya.
"Selepas penstrukturan semula organisasi baru-baru ini, Perbankan Borong akan menumpukan kepada lima teras utama iaitu Perbankan Pelaburan, Perbendaharaan & Pasaran Global, Perbankan Transaksi, Liputan Pelanggan, dan Penyelidikan Ekonomi.
"Saya percaya kepakaran beliau amat penting dalam menyokong pelaksanaan strategi PROGRESS27 kumpulan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Bebas Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dari 2018 hingga 2023, malahan pernah memegang beberapa jawatan utama di Citibank Bhd sejak 1996 hingga 2013.
Pelantikan itu mencerminkan komitmen berterusan RHB untuk memperkukuh barisan kepimpinan dan menjana nilai jangka panjang dalam perniagan Perbankan Borong kumpulan.- DagangNews.com
standard




