Johor Plantations antara penerima manfaat kenaikan levi eksport minyak sawit mentah Indonesia - RHB Research

LocalBusiness & Finance
15 May 2025 • 12:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Johor Plantations antara penerima manfaat kenaikan levi eksport minyak sawit mentah Indonesia - RHB Research

image is not available

15/05/2025 - 12:36

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - Syarikat perladangan Malaysia termasuk Johor Plantations Group Bhd, SD Guthrie Bhd dan Sarawak Oil Palms Bhd dijangka meraih manfaat selepas Indonesia memutuskan untuk menaikkan levi eksport minyak sawit mentah (MSM) dan minyak sawit bertapis, kata RHB Research.

Katanya, perubahan yang berkuat kuasa pada 17 Mei 2025 itu boleh memperbaiki dinamik harga MSM global dan mengurangkan sedikit kelebihan yang dimiliki penapis hiliran di Indonesia, seterusnya meningkatkan daya saing syarikat di Malaysia.

Firma penyelidikan itu berkata, kelebihan kos penapis di Indonesia dijangka berkurang sedikit, daripada AS$84 (RM360) kepada AS$80 satu tan, yang boleh memberi manfaat kepada syarikat perladangan di Malaysia.

Indonesia akan menaikkan levi eksport MSM daripada 7.5% kepada 10%, manakala levi ke atas minyak sawit bertapis akan meningkat daripada 4.5% kepada 7.5%, dan untuk biodiesel daripada 3% kepada 4.75%.

"Levi yang lebih tinggi ini bertujuan meningkatkan dana untuk Badan Dana Biodiesel negara itu, yang menyokong mandat biodiesel B40 dan usaha penanaman semula sawit negara," katanya dalam satu nota kajian.

RHB Research berkata, levi eksport MSM yang lebih tinggi di Indonesia dijangka memberi tekanan kepada pendapatan syarikat perladangan negara itu.

Firma penyelidikan itu menganggarkan penurunan pendapatan tahunan sebanyak 6% hingga 12% bagi syarikat minyak sawit Indonesia sekiranya harga MSM kekal stabil.

Mereka menjangkakan harga jualan efektif MSM di Indonesia boleh menyusut sebanyak RM75 hingga RM113 satu tan, bergantung kepada harga pasaran.

Pada 2025, dengan anggaran harga MSM pada RM4,300 satu tan, purata harga jualan boleh merosot sebanyak RM108 satu tan bagi syarikat yang tersenarai di bursa Indonesia dan Singapura.

Walaupun pendapatan dijangka terjejas, RHB Research percaya Badan Dana Biodiesel Indonesia mempunyai rizab mencukupi untuk mengekalkan subsidi bagi mandat biodiesel B40, selagi harga minyak dan gas kekal melebihi AS$49 setong.- DagangNews.com

featured standard