liza04/11/2026 - 09:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov – Pemulihan permintaan koko global dijangka menyokong prestasi Guan Chong Berhad pada suku ketiga 2026 susulan peningkatan aktiviti pemprosesan koko di beberapa pasaran utama termasuk Asia, Eropah dan Malaysia, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pengeluar bahan berasaskan koko berkenaan mencatat prestasi kewangan lebih baik pada separuh kedua 2026, disokong peningkatan kadar penggunaan kapasiti pengeluaran, kos bahan mentah lebih rendah serta pengurangan kos pembiayaan dan lindung nilai.
RHB Research berkata data pemprosesan koko global menunjukkan pemulihan permintaan yang meluas, sekali gus memberikan prospek lebih baik kepada operasi Guan Chong.
Di Asia, jumlah pemprosesan koko meningkat 29% tahun ke tahun kepada 234,000 tan pada suku ketiga 2026, manakala data Persatuan Pengeksport Côte d’Ivoire (GEPEX) menunjukkan jumlah pemprosesan di negara itu melonjak 40% kepada 157,000 tan.
Di Eropah, Persatuan Koko Eropah melaporkan jumlah pemprosesan meningkat 3.2% kepada 348,000 tan, mengatasi jangkaan, sementara Malaysia turut merekodkan pertumbuhan 17.1% kepada 89,000 tan. Amerika Utara menjadi satu-satunya rantau yang mencatat penyusutan apabila jumlah pemprosesan merosot 2.5%.
Kos bahan mentah lebih rendah sokong margin keuntungan
RHB Research berkata pemulihan permintaan itu dijangka meningkatkan kadar penggunaan kapasiti pengeluaran Guan Chong dan membantu memperbaiki keuntungan, terutama dengan persekitaran operasi yang lebih baik susulan penurunan kos input termasuk biji koko dan modal kerja.
“Pihak pengurusan turut mengambil langkah awal dengan memastikan bekalan biji koko mencukupi pada harga yang lebih menguntungkan, selain melaksanakan strategi lindung nilai bagi menghadapi kemungkinan fenomena El Niño yang kuat.
“Walaupun nisbah harga mentega koko (cocoa butter ratio) masih rendah, peningkatan nisbah harga serbuk koko dijangka membantu mengurangkan kesan tersebut dan menyokong margin keuntungan keseluruhan aktiviti pemprosesan koko kumpulan.
“Selain itu, pengembangan operasi Guan Chong di Côte d’Ivoire bagi fasa kedua sudah ditauliahkan sepenuhnya yang meningkatkan jumlah kapasiti pemprosesan koko kumpulan kepada 395,000 tan setahun bagi menyokong pertumbuhan operasi pada tahun kewangan 2027,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
RHB kekalkan saranan beli, harga sasaran RM2
Mengulas prospek keseluruhan, RHB Research menjangkakan Guan Chong berada pada landasan untuk mencatat keuntungan tahunan rekod dengan prestasi suku ketiga 2026 dijangka meningkat dari segi tahun ke tahun dan suku ke suku.
Firma itu mengunjurkan untung bersih berulang kumpulan sebanyak RM701 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, berbanding RM227 juta pada 2025, sebelum diunjurkan RM449 juta pada 2027 dan RM485 juta pada 2028.
Bagaimanapun, RHB Research memilih untuk mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada sementara menunggu pengumuman keputusan kewangan Guan Chong yang akan datang, walaupun melihat kemungkinan prestasi lebih baik daripada jangkaan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan Beli terhadap saham Guan Chong dengan harga sasaran RM2 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 12 kali bagi tahun kewangan 2027.
Pada harga saham RM1.32 ketika ini, sasaran berkenaan mencerminkan potensi kenaikan 51.5%, selain anggaran hasil dividen sekitar 4% bagi tahun kewangan 2027.
Antara risiko utama terhadap prospek kumpulan termasuk turun naik ketara harga bahan mentah, kelemahan permintaan produk koko serta risiko pelaksanaan dan operasi di negara tempat kumpulan mengembangkan perniagaannya. - DagangNews.com





