Jualan Nestlé meningkat 6.7% kepada RM5.55 bilion pada 9M26 disokong permintaan domestik

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan Nestlé meningkat 6.7% kepada RM5.55 bilion pada 9M26 disokong permintaan domestik Image from: Jualan Nestlé meningkat 6.7% kepada RM5.55 bilion pada 9M26 disokong permintaan domestik liza27/10/2026 - 14:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt – Nestlé (Malaysia) Berhad mencatat peningkatan hasil jualan sebanyak 6.7% kepada RM5.55 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 berbanding RM5.2 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, didorong terutamanya oleh pertambahan jualan domestik.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat makanan dan minuman itu berkata pertumbuhan jualan turut disokong permintaan domestik yang lebih tinggi merentasi kategori produk utama, selain inovasi berterusan dan pelaksanaan strategi komersial yang berkesan.

 

“Permintaan terhadap produk halal buatan Malaysia di pasaran eksport pula kekal konsisten sepanjang tempoh berkenaan. Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, Nestlé merekodkan hasil jualan sebanyak RM1.86 bilion, meningkat 5.3% berbanding RM1.76 bilion pada suku sama tahun lalu.

 

“Hasil jualan turut meningkat 2.4%, mencerminkan momentum jualan domestik yang berterusan,” katanya.

 

Sepanjang suku ketiga, syarikat meneruskan pelaburan dalam jenama teras melalui inovasi produk, pembinaan jenama dan pelaksanaan strategi pemasaran bagi mengekalkan kaitan produk dengan pengguna dalam pelbagai keadaan penggunaan.

 

Usaha itu termasuk kempen Gaji Seumur Hidup yang menghimpunkan pelbagai jenama di bawah portfolio Nestlé bagi meningkatkan penglibatan pengguna di Malaysia.

 

Keuntungan meningkat susulan jualan lebih tinggi

Peningkatan jualan turut menyumbang kepada prestasi keuntungan yang lebih baik bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026.

 

Keuntungan sebelum cukai meningkat 37.2% kepada RM740.7 juta berbanding RM540 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan selepas cukai naik 43.9% kepada RM557.6 juta daripada RM387.5 juta.

 

Bagi suku ketiga sahaja, keuntungan sebelum cukai meningkat 47.5% kepada RM263.1 juta berbanding RM178.4 juta setahun lalu. Keuntungan selepas cukai pula naik 73.2% kepada RM197.5 juta daripada RM114 juta.

 

Menurut syarikat, peningkatan keuntungan itu disokong jualan lebih tinggi, penurunan sebahagian kos komoditi serta tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi dan inisiatif pendigitalan.

 

Makanan dan minuman sumbang bahagian terbesar jualan

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, segmen makanan dan minuman menyumbang hasil sebanyak RM4.46 bilion berbanding RM4.15 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Segmen itu turut merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM603.3 juta berbanding RM464 juta sebelumnya.

 

Sementara itu, segmen lain yang merangkumi perniagaan pemakanan, Nestlé Professional, Nestlé Health Science dan Nespresso mencatatkan hasil RM1.09 bilion berbanding RM1.05 bilion setahun lalu.

 

Keuntungan operasi segmen berkenaan meningkat kepada RM172.4 juta daripada RM124.4 juta. Secara keseluruhan, segmen makanan dan minuman menyumbang kira-kira 80% daripada jumlah jualan kumpulan, manakala segmen lain menyumbang baki 20%.

 

Isytihar dividen interim kedua 80 sen sesaham

Dalam perkembangan berkaitan, lembaga pengarah Nestlé mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 80 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, meningkat berbanding 60 sen sesaham bagi tempoh berkaitan tahun sebelumnya.

 

Dividen itu dijadualkan dibayar pada 9 Disember 2026 kepada pemegang saham yang layak, dengan tarikh kelayakan pada 11 November 2026.

 

Nestlé turut mengekalkan prospek positif bagi keseluruhan tahun kewangan 2026, dengan memberi tumpuan kepada inovasi, pelaksanaan strategi perniagaan serta pemenuhan keperluan pengguna yang sentiasa berubah.

 

Syarikat berkata pelaburan berterusan dalam pendigitalan, automasi dan produktiviti dijangka membantu meningkatkan kecekapan operasi, disokong kemudahan pembuatan tempatan serta rangkaian pengedaran yang luas. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved