Merchantrade sasar RM5 bilion agihan gaji secara digital menjelang akhir tahun ini

LocalBusiness & Finance
11 Jun 2025 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Merchantrade sasar RM5 bilion agihan gaji secara digital menjelang akhir tahun ini

image is not available

11/06/2025 - 17:20

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 11 Jun – Merchantrade Asia Sdn Bhd menyasarkan agihan gaji mencecah RM5 bilion menerusi rumusan penggajian digitalnya menjelang akhir 2025.

Setakat tahun 2024, syarikat telah merekodkan agihan melebihi RM3.6 bilion ke akaun e-dompet pekerja asing, selaras komitmennya memperluas pendigitalan penggajian dan keterangkuman kewangan kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan perbankan.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Ramasamy K. Veeran berkata, jumlah agihan setakat ini membuktikan impak positif rumusan syarikat serta menunjukkan peralihan majikan ke arah sistem gaji digital yang lebih produktif dan mengutamakan kebajikan pekerja.

image is not available
Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade Asia, Ramasamy K. Veeran

"Kami akan terus memperkukuh pertumbuhan ini menerusi kerjasama strategik, mempertingkatkan proses pendaftaran yang berinovasi bagi memenuhi keperluan majikan dan pekerja," katanya dalam satu kenyataan.

Lebih 40 syarikat tersenarai awam bergantung kepada perkhidmatan Merchantrade bagi memastikan bayaran gaji kepada pekerja asing dibuat secara selamat, cekap, dan telus.

Merchantrade turut menerima pengiktirafan sebagai penerbit sah sistem pembayaran di bawah Perintah Pekerjaan 2024 oleh Kementerian Sumber Manusia.

Syarikat menawarkan sistem penggajian yang direka khusus untuk kemudahan berskala besar, termasuk proses pendaftaran berkelompok di premis majikan, akses ke portal mesra pengguna, latihan serta perkhidmatan melalui 97 cawangan dan 450 lokasi ejen di seluruh negara.

Dengan sokongan menyeluruh daripada proses pendaftaran hingga perkhidmatan selepas jualan, rumusan itu semakin menjadi pilihan utama berbanding bank tradisional, khususnya untuk segmen pekerja asing.

Gaji dikreditkan terus ke dalam e-dompet Merchantrade Money yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti pemindahan wang antarabangsa, tambah nilai prabayar, mikroinsurans, bayaran bil serta perbelanjaan dalam talian dan fizikal melalui kad prabayar Visa.

Antara kelebihan utama perkhidmatan itu ialah keupayaan menyalurkan bayaran Perkeso terus ke akaun e-dompet, sekali gus memudahkan tuntutan pekerja serta membantu majikan mengurus tanggungjawab perlindungan sosial dengan lebih efisien.- DagangNews.com

standard