Ribuan Penyokong Trabzonspor Banjiri Lapangan Terbang Sambut Mohamed Salah

FootballSports
6 Aug 2026 • 7:18 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Ribuan Penyokong Trabzonspor Banjiri Lapangan Terbang Sambut Mohamed Salah

TRABZON, 6 Ogos — Mohamed Salah menerima sambutan luar biasa daripada penyokong Trabzonspor sebaik tiba di Turki bagi melengkapkan perpindahannya ke kelab gergasi Liga Super Turki itu.

Menurut laporan media antarabangsa, ribuan penyokong memenuhi kawasan lapangan terbang dan jalan utama menuju ke bandar Trabzon, dengan beberapa laporan menganggarkan kehadiran mencecah sekitar 25,000 orang.

Suasana bertukar menjadi pesta apabila penyokong menyalakan suar, bunga api serta mengibarkan bendera kelab sambil melaungkan nama bekas bintang Liverpool itu.

Salah yang tampil memakai jersi Trabzonspor turut meluangkan masa melambai dan menyapa penyokong sebelum meneruskan perjalanan bagi melengkapkan proses perpindahannya.

Era Baharu Selepas Tinggalkan Liverpool

Pemain berusia 34 tahun itu dijangka menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Trabzonspor selepas meninggalkan Liverpool sebagai ejen bebas, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya di Turki.

Sepanjang sembilan musim bersama Liverpool, Salah menjaringkan 257 gol dalam 442 penampilan, membantu The Reds memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara UEFA, Piala FA, dua Piala Liga, Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA.

Malah, pada musim 2024/25, beliau mencipta sejarah apabila merangkul tiga anugerah utama Liga Perdana Inggeris iaitu Pemain Terbaik Musim Ini, Kasut Emas dan Playmaker Award selepas meledak 29 gol serta mencipta 18 bantuan jaringan.

Nombor 61 Jadi Tumpuan Penyokong

Turut mencuri perhatian ialah nombor 61 yang dipakai Salah ketika tiba di Turki. Nombor itu mempunyai nilai sentimental buat penyokong Trabzonspor kerana 61 merupakan kod kawasan bandar Trabzon, simbol yang cukup sinonim dengan identiti kelab.

Bagaimanapun, laporan menyebut beliau dijangka menggunakan jersi nombor 10 selepas perpindahannya dimuktamadkan.

Sambutan luar biasa yang diterimanya membuktikan aura Mohamed Salah masih kekal sebagai antara ikon terbesar bola sepak dunia, dengan perpindahan ini menjadi antara kisah paling hangat pada jendela perpindahan musim ini. – The Malaysian Update

The post Ribuan Penyokong Trabzonspor Banjiri Lapangan Terbang Sambut Mohamed Salah appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved