
Kelab bola sepak Trabzonspor telah memulakan rundingan rasmi bagi membawa masuk bintang Mesir Mohamed Salah secara percuma.
ISTANBUL: Kelab bola sepak Türkiye, Trabzonspor mengumumkan pada lewat Selasa bahawa rundingan bagi mendapatkan bintang Mesir Mohamed Salah telah dimulakan secara rasmi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Rundingan telah dimulakan berhubung perpindahan pemain bola sepak profesional Mohamed Salah, yang kini berstatus ejen bebas, ke kelab kami,” menurut Trabzonspor dalam kenyataan kepada Bursa Saham Istanbul yang disiarkan menerusi Platform Pendedahan Awam Türkiye.
Dalam kenyataan berasingan, kelab itu memaklumkan Salah dijadual tiba di Terminal Penerbangan Am Lapangan Terbang Atatürk Istanbul pada 12 tengah hari waktu tempatan (0900 GMT) Rabu.
Beliau juga dijadual tiba di Trabzon pada petang hari yang sama.
Pemain berusia 34 tahun itu mengumumkan pada Mac bahawa beliau akan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC, pada penghujung musim 2025-2026.
Sepanjang bersama Liverpool, Salah membantu kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara UEFA, dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala Dunia Kelab FIFA, Piala Super UEFA, Piala FA serta dua kejuaraan Piala Liga.
Beliau turut muncul penjaring terbanyak Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan pemain asing dengan jumlah jaringan tertinggi dalam sejarah liga itu, selain menjadi penjaring terbanyak Afrika sepanjang zaman dalam Liga Juara-Juara UEFA.
Pencapaian individunya termasuk dua anugerah Pemain Terbaik Afrika Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), dua anugerah Pemain Terbaik Afrika BBC, beberapa anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris serta dipilih berulang kali dalam pasukan terbaik tahunan FIFA dan peringkat benua.
Beberapa laporan media yang belum disahkan mendakwa Salah sedang merundingkan kontrak dua tahun dengan gaji tahunan €17 juta (US$19.6 juta).
— BERNAMA-ANADOLU



