Ribut Bercham: Polis tutup lima zon kawasan bencana, aktiviti pergerakan dihadkan

LocalEnvironment
21 Jun 2026 • 3:55 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Ribut Bercham: Polis tutup lima zon kawasan bencana, aktiviti pergerakan dihadkan

KUALA LUMPUR - Polis menutup lima zon dalam kawasan bencana yang terjejas akibat ribut di sekitar Bercham, Ipoh, dan mengehadkan pergerakan keluar masuk bagi mengelak kecurian harta benda atau pecah masuk rumah mangsa di kawasan berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Muhammad Najib Hamzah, kelonggaran diberikan kepada penduduk yang mahu keluar dan masuk ke kawasan terjejas bagi membersihkan kediaman mereka pada waktu malam.

"Kita akan lebih ketat (mengehadkan pergerakan) pada waktu malam sebab ada kawasan yang terjejas antaranya di Anjung Bercham masih lagi tidak mempunyai bekalan elektrik.

"Jika ada penduduk hendak kemas rumah atau barang pada waktu malam, kita akan pantau. Kita akan tanya dia sama ada itu betul rumah dia sebab kita risau juga ada kejadian kalau dia kemas tapi sebenarnya dia mencuri," katanya pada sidang media selepas meninjau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Balai Polis Bercham, hari ini.

Setakat 8 pagi ini, kata beliau, polis menerima 492 laporan mengenai kejadian ribut yang berlaku menerusi Op Bencana dan tidak mengehadkan tempoh untuk mana-mana mangsa untuk membuat laporan.

Semalam, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran berkata, ribut yang melanda kawasan berkenaan semalam disifatkan sebagai luar biasa hingga menjejaskan lebih 200 rumah.

Kejadian itu, katanya,tidak pernah dilaporkan sebelum ini dan dipercayai berpunca daripada fenomena ‘belalai darat’.

“Sepanjang pengetahuan kita, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku di kawasan ini. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini ada juga beberapa kawasan dilanda ribut, tetapi biasanya melibatkan pokok tumbang atau kerosakan kecil.

“Namun kali ini agak berbeza kerana kesannya lebih teruk dan menyerupai taufan kecil,” katanya. - 21 Jun, 2026

The post Ribut Bercham: Polis tutup lima zon kawasan bencana, aktiviti pergerakan dihadkan appeared first on Scoop.