
PETALING JAYA – Hujan lebat dan ribut petir yang melanda beberapa kawasan petang tadi menyaksikan kejadian pokok tumbang dilaporkan di beberapa lokasi termasuk Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
Tinjauan di media sosial mendapati pengguna Threads berkongsi kejadian tersebut antaranya di Pandan Indah dan Kajang, Selangor, Teluk Kumbar, Pulau Pinang serta berhampiran Gopeng, Perak.
Pengguna Threads, @Mek_ganu_kite mendakwa pokok tumbang di Pandan Indah ketika kawasan berkenaan dilanda ribut dan hujan lebat dan turut memuat naik hantaran yang memaparkan dahan dan pokok tumbang berhampiran deretan motosikal.
“Ribut dan hujan lebat, pokok tumbang di Pandan Indah,” katanya.
Di Kajang pula, @Lannhensem berkongsi gambar sebatang pokok besar tumbang sehingga merintangi sebahagian jalan berhampiran Karunmas.
“Makluman, dekat Karunmas ada pokok tumbang. Tidak tahu bagaimana boleh tumbang kerana tiada hujan atau ribut. Macam ada sebuah kereta di bawah itu,” tulisnya.
Situasi sama turut dilaporkan di Teluk Kumbar apabila @Abcdfafornow meminta pengguna jalan raya berhati-hati selepas terdapat pokok tumbang di laluan menuju ke kawasan berkenaan.
Di Perak, @Ansyahira_ pula memaklumkan kejadian pokok tumbang berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara sebelum susur keluar Gopeng kira-kira pukul 3.30 petang.
Seorang lagi pengguna, @Adilahadi berkata, kejadian itu menyebabkan kesesakan bagi kenderaan menghala ke utara, namun keadaan kembali lancar selepas melepasi susur keluar Gopeng.
“Bagi yang menghadapi kesesakan dekat Gopeng menghala ke utara, ada pokok tumbang. Selepas susur keluar Gopeng, laluan sudah lancar. Yang menghala ke selatan boleh teruskan perjalanan. Semoga semua selamat sampai ke destinasi,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada pukul 3.05 petang tadi mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat membabitkan kawasan di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah sehingga pukul 6 petang.
Di Perak, amaran berkenaan melibatkan Selama, Larut Matang, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah, Kinta, Kampar, Batang Padang, Muallim, Hilir Perak dan Bagan Datuk, manakala seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya turut berada dalam kawasan amaran cuaca buruk tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Ribut, hujan lebat ‘tumbangkan’ pokok di beberapa negeri appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Halaman luas untuk kucing main, rupa-rupanya ‘syurga’ ular sawa](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/kucing-ular-sawa-1024x768.jpeg)


