
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa kawasan di lapan negeri sehingga pukul 5 petang ini.
Amaran yang dikeluarkan susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di utara, Pantai Timur serta selatan Semenanjung.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, di Kedah kawasan yang terlibat ialah Baling, Sik, Kulim, Kuala Muda, Pendang dan Yan.
Sementara itu, katanya, di Pulau Pinang, amaran membabitkan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
“Bagi Perak, kawasan terjejas merangkumi Muallim, Kinta, Kampar, Batang Padang, Perak Tengah, Hilir Perak dan Kuala Kangsar.
“Di Terengganu, amaran melibatkan Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus,” lapor MetMalaysia.
Sementara itu, MetMalaysia turut menjangkakan cuaca buruk sebelah petang ini di sekitar Pahang membabitkan Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Bera, Rompin, Temerloh dan Maran.
Tambahnya, di Negeri Sembilan, amaran ribut petir dikeluarkan melibatkan Seremban, Jempol, Tampin, Kuala Pilah dan Jelebu, serta Segamat, Johor.
“Bagi Sarawak, keadaan sama tertumpu sekitar Miri iaitu Marudi, Limbang, Mukah, Sibu iaitu Sibu dan Selangau, Sarikei melibatkan Maradong dan Sarikei serta Bintulu meliputi Bintulu dan Tatau.
“Di Sabah, kawasan yang terlibat termasuk Pedalaman iaitu Keningau, Tambunan, Membakut, Tenom, Sipitang dan Beaufort, selain Pantai Barat serta Kudat iaitu Kota Marudu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Ribut petir, hujan lebat di 8 negeri hingga 5 petang appeared first on Kosmo Digital.




