
PETALING JAYA – Dakwaan bunyi ketukan misteri yang dikatakan berlaku di beberapa rumah di kawasan Langgar, Alor Setar, Kedah kini didakwa menular hingga ke Mergong.
Menerusi hantaran seorang pengguna Threads Ahmadaki mendakwa, bunyi ketukan itu didakwa berlaku pada waktu maghrib hingga awal pagi.
“Fenomena hantu ketuk pintu rumah dah sampai Mergong semalam. Dia punya ketuk tu sampai nak pecah pintu. Video ada tapi tak leh share (kongsi). Menyeramkan sangat dan menganggu privasi mangsa.
“Takat la tadak sapa (setakat ini tiada siapa) pernah tengok bentuk dia lagi. Ada kena waktu maghrib sampai awal pagi,” dakwanya pada hantaran itu.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada penduduk di kawasan Alor Setar.
“Jadi betul lah yang kata la ni (waktu ni) musim bomoh cuba ilmu depa?,” komen Bloomlatebutbless.
“Jangan lah mai ketuk rumah mak saya. Abang baru meninggai (meninggal), satgi (kejap lagi) dia ingat abang mai ketuk. Dia duk rindu sangat dah tu,” kata Hanisalleh.
“Sungguh la balik kerja letih malam nak kena takut hal ni. Stres betul dok pkiq (fikir),” kata Yaniesabdin.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, misteri bunyi ketukan kuat kedengaran di beberapa rumah sekitar Alor Setar semakin menjadi perhatian apabila orang ramai mereka berkongsi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian di media sosial.
Rakaman CCTV dari beberapa kediaman di sekitar Jalan Langgar memaparkan bunyi ketukan kuat pada waktu malam, namun tiada kelibat individu dikesan berada di hadapan rumah.
Dalam masa sama, polis sedang menyiasat dakwaan bunyi ketukan tersebut dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali dilaporkan berkata, dakwaan kejadian tersebut yang tular di media sosial sudah dalam pengetahuan polis, namun setakat ini belum menerima laporan rasmi daripada penduduk terlibat. – KOSMO! ONLINE
The post Ketukan misteri merebak ke Mergong appeared first on Kosmo Digital.






