
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sehingga pukul 9 malam ini.
Menurut MetMalaysia menerusi kenyataan di Facebook, amaran itu melibatkan Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.
Di Kedah, kawasan terlibat ialah Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu, Yan, Pendang, Baling dan Sik, manakala di Perak membabitkan Batang Padang, Muallim, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Selama dan Larut Matang.
Di Kelantan, amaran dikeluarkan bagi Gua Musang, sementara di Terengganu melibatkan Kemaman dan Dungun.
Bagi Pahang, kawasan terlibat ialah Pekan, Kuantan, Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran, Rompin dan Raub, manakala di Selangor membabitkan Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
Amaran turut melibatkan seluruh Melaka, manakala di Negeri Sembilan, kawasan terlibat ialah Seremban, Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Tampin dan Jempol.
Di Johor, kawasan terlibat ialah Segamat, Batu Pahat, Mersing, Tangkak, Muar dan Kota Tinggi.
Sementara itu, di Sarawak, amaran melibatkan Kuching, Selangau dan Kanowit di Sibu, Siburan di Serian, Kapit dan Song di Kapit, Lubok Antu, Sri Aman dan Lingga di Sri Aman, Betong, Pakan dan Julau di Sarikei, Tatau di Bintulu, Matu di Mukah, Limbang, Marudi di Miri serta Sebuyau di Samarahan.
Di Sabah, kawasan terlibat ialah seluruh Pedalaman dan Pantai Barat, Telupid serta Paitan di Sandakan, selain Kalabakan di Tawau.
MetMalaysia memaklumkan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
Amaran berkenaan merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran. – KOSMO! ONLINE
The post Ribut petir, hujan lebat hampir seluruh negara hingga 9 malam appeared first on Kosmo Online.



