
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat serta angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di tujuh negeri sehingga pukul 3 petang ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di Facebook berkata, keadaan tersebut melibatkan seluruh negeri Perlis serta beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sarawak dan Sabah.
Katanya, di Kedah, kawasan terjejas ialah Kubang Pasu, Padang Terap dan Langkawi, manakala di Pulau Pinang melibatkan Barat Daya dan Timur Laut.
Bagi negeri Perak, MetMalaysia mengeluarkan amaran sama melibatkan daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Selama serta Larut Matang.
Sementara itu, di Sarawak, amaran melibatkan Bintulu serta beberapa kawasan di Mukah iaitu Daro, Matu, Dalat dan Mukah.
Kata MetMalaysia, kawasan Subis di Miri, Sarawak turut berdepan keadaan sama sehingga petang ini.
“Di Sabah, kawasan yang terlibat ialah Tawau, beberapa kawasan di Pedalaman merangkumi Pensiangan, Sook, Keningau, Sipitang, Tenom dan Tambunan.
“Turut terjejas ialah Tongod dan Paitan di Sandakan serta Ranau, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang dan Kota Belud di Pantai Barat,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE
The post Ribut petir, hujan lebat landa tujuh negeri hingga 3 petang appeared first on Kosmo Online.






