
ALOR SETAR: Hujan lebat berterusan semalam mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar daerah Kubang Pasu dilanda banjir kilat ekoran paras air yang meningkat dan melimpah ke jalan raya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini kerana paras air di semua lokasi terjejas kini menunjukkan trend menurun dan cuaca semasa dilaporkan tidak hujan.
“Mukim yang terlibat ialah Naga, Laka, dan Temin dengan 13 lokasi yang terjejas. Sebanyak 27 rumah dilaporkan terkesan dalam kejadian ini melibatkan empat kampung.
“Di Kampung Changkat Sentol, sebanyak lapan rumah terjejas dan semua mangsa telah keluar serta menumpang sementara di rumah saudara dan rumah inap desa. Di Kampung Sungai Petani pula, enam rumah terjejas, lima di Kampung Padang dan Kampung Belukar melibatkan lapan rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata dalam kejadian yang dilaporkan pada 5 petang semalam itu, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi kejadian untuk pemantauan awal.
“Meskipun keadaan semakin pulih, anggota APM masih berada di lokasi bagi menjalankan pemantauan berterusan dan berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.





