27 rumah terjejas banjir di Kubang Pasu

3 Oct 2026 • 1:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 27 rumah terjejas banjir di Kubang Pasu

KUBANG PASU: Hujan lebat yang berterusan sejak petang, semalam mengakibatkan sebanyak 27 rumah di empat kampung dekat sini terjejas banjir setelah paras sungai berdekatan meningkat.

Bagaimanapun, keadaan di kawasan berkenaan setakat pukul 12 tengah hari ini menunjukkan paras air di kebanyakan lokasi terbabit mula menurun dan masih terkawal.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi berkata, pemantauan pada pukul 5 petang, semalam mendapati lapan rumah di Kampung Changkat Sentol terjejas akibat air naik dan memasuki kediaman.

“Kesemua penghuni keluar dan kini menetap di inap desa atau rumah saudara terdekat. Selain itu, enam rumah di Kampung Sungai Petani, lima rumah di Kampung Padang dan lapan rumah di Kampung Belukar turut terjejas.

“Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara  (PPS) dibuka di kawasan pemantauan. Keadaan cuaca ketika pemantauan dijalankan juga tidak hujan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pemantauan turut dijalankan di beberapa lokasi termasuk Sungai Sintok, Sungai Badak (ABM), Sisiran Sintok Universiti Utara Malaysia (UUM), bulatan di hadapan UUM, Sungai Batu 15 Sintok, Sungai Laka dan RTB Tanjung Pauh.

“Turut dipantau ialah Sungai Tok Kassim, Kampung Changkat Sentol, Kilometer 6 Lebuhraya Sintok berhampiran Sungai Badak, Kampung Sungai Petani, Kampung Padang dan Kampung Belukar,” tambahnya.

Mohd. Adenin berkata, pemantauan mendapati paras air di Sungai Sintok dan Sungai Badak (ABM) menunjukkan trend menurun manakala paras air di Sungai Laka dan RTB Tanjung Pauh masih terkawal.

“Paras air di Sungai Batu 15 Sintok dan Sungai Tok Kassim juga menunjukkan trend menurun. Di Kilometer 6 Lebuhraya Sintok berhampiran Sungai Badak, air dilaporkan melimpah ke jalan dan kawasan itu sedang dipantau pihak bomba,” katanya.

Beliau berkata, paras air di Kampung Sungai Petani, Kampung Padang dan Kampung Belukar turut menunjukkan trend menurun, manakala paras air di sungai lain masih berada pada tahap terkawal. –UTUSAN

The post 27 rumah terjejas banjir di Kubang Pasu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved