Rifdean mahu pertarungan ulangan

19 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rifdean mahu pertarungan ulangan

PETARUNG muay thai negara, Rifdean Masdor belum berputus asa selepas tewas kepada jaguh Jepun, Nadaka Yoshinari apabila secara terbuka meminta peluang untuk mengadakan pertarungan ulangan bagi membuktikan kemampuan sebenar dirinya.

Rifdean yang tewas pada pusingan kedua di ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo, kelmarin selepas perlawanan dihentikan pengadil, mengakui kekalahan itu bukan rezekinya, namun tetap berhasrat untuk kembali berdepan juara dunia Muay Thai ONE kategori atomweight berkenaan.

Menerusi video yang dimuat naik di Instagram miliknya, petarung berusia 23 tahun itu turut menjelaskan dia sudah melakukan yang terbaik untuk menghadapi pertarungan tersebut, meskipun berdepan masalah ketika proses penimbangan dan ujian hidrasi.

“Alhamdulillah, saya selamat dan tidak mengalami apa-apa. Ini bukan rezeki saya kali ini, tetapi saya bersyukur. Saya sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

Rifdean turut meminta peminat tanah air menyampaikan hasratnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong supaya diberikan peluang untuk mengulangi pertarungan menentang Nadaka.

“Beritahu Boss Chatri, Dean nak rematch. Mungkin dia fikir saya tidak lepas hidrasi dan berat, tetapi berat saya sebenarnya sudah lepas. Saya cuma perlu melalui proses dehidrasi sekali lagi sebelum dibenarkan bertarung,” jelasnya.

Dia percaya masih berpeluang mencabar Nadaka sekali lagi dan mengakui terdapat kesilapan yang perlu diperbaiki selepas kekalahan tersebut, selain berharap pertarungan ulangan itu dapat memberinya peluang untuk membawa kemenangan pulang ke Malaysia.

“Kalau saya tidak melakukan kesilapan dalam pertarungan itu, insya-Allah saya boleh membawa kemenangan untuk Malaysia. Tolong beri saya peluang untuk bertarung sekali lagi,” katanya.

Sebelum pertarungan berlangsung, peluang Rifdean untuk merebut gelaran dunia sudah tertutup selepas gagal melepasi ujian hidrasi walaupun memenuhi had berat 115 paun (52.16 kilogram).

Pertarungan kemudian diteruskan pada berat 118.6 paun (53.8kg), dengan Rifdean dilaporkan perlu menyerahkan 50 peratus wang pertarungannya kepada Nadaka.

Dalam pertarungan itu, Rifdean memulakan aksi secara agresif sehingga Nadaka mengakui hidungnya patah akibat serangan petarung Malaysia tersebut.

Namun, Nadaka berjaya melakukan serangan balas menerusi tendangan ke kepala pada pusingan kedua sebelum pengadil menghentikan pertarungan pada minit 2:12, sekali gus memberikan kemenangan kepada wakil Jepun itu.

The post Rifdean mahu pertarungan ulangan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved