
IMPIAN jaguh muay thai negara, Rifdean Masdor untuk merebut gelaran dunia ONE Championship lebur apabila gagal melepasi ujian hidrasi menjelang pertarungan menentang Nadaka Yoshinari di ONE SAMURAI 4, hari ini.
Kegagalan itu menyaksikan Rifdean tidak lagi layak merebut tali pinggang Kejuaraan Dunia Muay Thai ONE kategori atomweight, meskipun dia berjaya menewaskan jaguh Jepun itu di Ariake Arena.
Perkembangan itu pastinya mengecewakan petarung berusia 24 tahun berkenaan yang sebelum ini memasang impian untuk membawa pulang tali pinggang dunia ke tanah air, sekali gus mengikut jejak rakan seperjuangannya, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib.
Bagaimanapun, Rifdean tidak mahu kekecewaan itu menjejaskan fokusnya untuk berdepan Nadaka walaupun peluang merebut gelaran sudah tertutup.
“Memang rasa pedih dan sedih, mungkin belum rezeki saya membawa pulang tali pinggang itu. Tetapi ini bukan lagi soal tali pinggang kejuaraan, anggap sahaja tali pinggang itu tiada.
“Bagi saya, matlamat utama dari awal adalah mahu bertarung dengan juara Jepun itu. Kalau saya tidak dapat bawa pulang tali pinggang pun tidak mengapa, janji saya dapat masuk berlawan dan menang menentang dia. Kalah menang tolak tepi, janji saya dapat lawan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram miliknya, semalam.
Rifdean menjelaskan berat badannya sudah menepati had ditetapkan, namun dia gagal melepasi ujian hidrasi yang menjadi syarat sebelum pertarungan berlangsung.
“Berat badan saya sebenarnya lepas, cuma hidrasi sahaja yang sangkut. Dengan keadaan cuaca di sini yang sangat sejuk, saya pula bergerak sendirian,” tambahnya.
Walaupun peluang memburu gelaran dunia tidak lagi berpihak kepadanya, Rifdean masih berpeluang menguji kemampuan menentang Nadaka sekiranya pertarungan itu mendapat kelulusan rasmi.
Rifdean hadir dengan momentum lima kemenangan berturut-turut dan rekod keseluruhan 7-1, selepas menewaskan petarung Iran, Javad Mozafari menerusi pukulan KO pusingan pertama dalam masa 94 saat, Jun lalu.
The post Rifdean berputih mata rampas gelaran dunia appeared first on Kosmo Online.






