Rimbunan Sawit lantik Thai King sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2025 • 1:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rimbunan Sawit lantik Thai King sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu

image is not available

05/08/2025 - 13:07

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Rimbunan Sawit Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Tiong Thai King sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu berkuat kuasa serta-merta, menggantikan Bong Wei Leong yang kini menyandang jawatan baharu sebagai Naib Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif.

Pelantikan Thai King, 80, yang juga abang kepada pemegang saham utama Rimbunan Sawit, Tan Sri Tiong Hiew King, dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh struktur kepimpinan syarikat perladangan kelapa sawit berpusat di Sarawak itu.

Thai King kini menyandang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan Rimbunan Hijau dan merupakan pengasas serta Pengerusi Eksekutif kumpulan syarikat Mafrica.

Beliau sebelum ini turut menerajui Subur Tiasa Holdings Bhd sebagai pengerusi, sebelum bersara daripada jawatan itu pada Mei lalu.

Rimbunan Sawit kini berada di bawah kawalan Hiew King yang memiliki kepentingan sebanyak 66.3% dalam syarikat menerusi beberapa entiti pelaburan.

Selain hubungan langsung dengan pemegang saham utama, Thai King juga adalah bapa saudara kepada tiga pemimpin utama syarikat iaitu Naib Pengerusi, Tiong Chiong Ong; Pengarah Urusan, Tiong Chiong Ie dan Pengarah, Tiong Chiong Ee.

Ia menjadikan pelantikan itu sebahagian daripada kesinambungan kepimpinan keluarga Tiong dalam empayar perladangan tersebut.

Pelantikan ini dilihat mampu merangsang hala tuju korporat Rimbunan Sawit dalam menghadapi cabaran pasaran sawit global serta memperkukuh asas pertumbuhan mampan syarikat pada masa depan. - DagangNews.com

standard