Ringgit, bursa dijangka kekal dalam trend positif minggu ini

Business & Finance
18 Aug 2026 • 6:52 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ringgit, bursa dijangka kekal dalam trend positif minggu ini

PETALING JAYA: Ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.07 hingga RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, manakala Bursa Malaysia pula dijangka mengekalkan kecenderungan menaik dengan indeks FBM KLCI berada dalam lingkungan 1,710 hingga 1,740 mata.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pergerakan ringgit masih bersifat mendatar berikutan pelabur menantikan hala tuju dasar kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed), selain mengambil kira perkembangan ekonomi domestik dan aliran dana asing.

Menurutnya, ringgit ditutup pada RM4.0885/0930 berbanding dolar AS minggu lalu, berbanding RM4.0835/0875 pada minggu sebelumnya, selain turut melemah berbanding yen, euro, pound dan kebanyakan mata wang ASEAN.

“Data inflasi dan pekerjaan AS yang menunjukkan perkembangan lebih sederhana pula memberi sedikit tekanan terhadap dolar AS, namun Fed masih memberi tumpuan kepada risiko inflasi.

“Selagi harga minyak kekal tinggi, dolar AS dijangka tidak akan mengalami kejatuhan mendadak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, prestasi ekonomi domestik turut memberi sokongan kepada ringgit selepas Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026, lebih baik daripada jangkaan awal 5.8 peratus.

“Bagaimanapun, penurunan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak AS$500 juta kepada AS$132.1 bilion pada Julai, berkemungkinan disebabkan aliran keluar daripada pasaran bon domestik, perlu terus diperhatikan.

“Kenanga Investment Bank menjangkakan ringgit akan lebih stabil menjelang akhir Ogos apabila dolar AS berkemungkinan mengembalikan sebahagian daripada pengukuhannya.

“Ringgit juga berpotensi mengukuh kepada RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir 2026, disokong kadar dasar semalaman (OPR) BNM yang kekal pada 2.75 peratus serta kemasukan pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.

Mengulas mengenai pasaran saham tempatan, Aimi Zulhazmi berkata, indeks FBM KLCI dijangka mengekalkan trend menaik dalam julat 1,710 hingga 1,740 mata minggu ini.

Beliau berkata, indeks utama Bursa Malaysia meningkat 23.88 mata kepada 1,724.90 mata minggu lalu dengan hampir semua indeks utama mencatatkan peningkatan kecuali sektor perladangan dan tenaga.

“Sektor kewangan menjadi antara penyumbang utama dengan peningkatan 270.53 mata.

“Pasaran turut disokong musim pengumuman keputusan kewangan syarikat, dengan prestasi pendapatan korporat menjadi antara pemangkin utama kepada sentimen pelabur,” katanya.

Menurutnya, pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) dijangka pulih sebanyak 6.3 peratus pada tahun ini, sekali gus memberi asas sokongan kepada pasaran.

“Selain itu, aliran masuk dana asing dan institusi yang berterusan turut dijangka menyokong prestasi Bursa Malaysia.

“Bagaimanapun, pelabur diingatkan supaya kekal berhati-hati terhadap perkembangan dasar monetari AS, risiko geopolitik dan pergerakan harga komoditi,” jelasnya. – UTUSAN

The post Ringgit, bursa dijangka kekal dalam trend positif minggu ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved