Saham teknologi, utiliti jadi tumpuan pelabur minggu ini

Business & Finance
17 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saham teknologi, utiliti jadi tumpuan pelabur minggu ini

PETALING JAYA: Sektor teknologi, utiliti, produk perindustrian serta tenaga dijangka menjadi antara tumpuan utama pelabur di Bursa Malaysia minggu ini, ketika sentimen pasaran kekal positif namun semakin selektif.

Pensyarah Kanan Sekolah Perakaunan dan Kewangan Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, sektor teknologi masih mendapat sokongan daripada tema kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pusat data dan digitalisasi.

Katanya, pada masa sama, sektor utiliti dan beberapa saham bermodal besar atau heavyweights dijangka mendapat perhatian kerana sifatnya yang lebih defensif dalam keadaan pasaran yang masih berhati-hati.

“Pelabur dijangka lebih selektif dengan memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai asas, prospek pendapatan dan perkembangan korporat yang jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, momentum saham teknologi dilihat masih mempunyai ruang untuk diteruskan meskipun indeks teknologi Malaysia baru-baru ini mencatat paras tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan dijangka lebih selektif berikutan risiko pengambilan untung yang semakin meningkat selepas kenaikan harga yang agak pantas.

“Tema AI, semikonduktor, pusat data dan permintaan terhadap infrastruktur digital masih menjadi pemangkin penting. Namun, pelabur perlu membezakan antara kaunter yang disokong pertumbuhan pendapatan sebenar dengan kaunter yang meningkat semata-mata kerana momentum pasaran,” katanya.

Selain itu, jelasnya, minat terhadap kaunter seperti SkyeChip dan Zetrix AI pula banyak didorong pendedahan kepada tema teknologi yang mendapat perhatian pasaran, khususnya AI, semikonduktor, blockchain dan infrastruktur digital.

“Selain prospek pertumbuhan industri, sentimen serta aktiviti dagangan jangka pendek turut memainkan peranan dalam menarik minat pelabur runcit dan pedagang momentum.

“Bagaimanapun, peningkatan aktiviti dagangan tidak semestinya menunjukkan nilai fundamental sesebuah syarikat meningkat pada kadar yang sama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kecenderungan terhadap sektor defensif dan utiliti dilihat lebih kepada proses pengimbangan semula portfolio atau sector rotation, bukannya pengabaian terhadap sektor teknologi.

Pelabur masih mahu mendapatkan pendedahan kepada pertumbuhan melalui teknologi, namun pada masa sama mula melihat sektor utiliti dan defensif sebagai perlindungan sekiranya volatiliti pasaran meningkat.

“Justeru, kedua-dua kategori boleh mendapat minat serentak bergantung kepada tahap toleransi risiko pelabur,” katanya.

Paul berkata, prestasi saham bermodal besar pula dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) minggu ini.

“Pergerakan beberapa kaunter utama dalam sektor perbankan, utiliti, telekomunikasi dan produk perindustrian boleh mempengaruhi indeks walaupun prestasi pasaran secara keseluruhan bercampur.

“Sokongan berterusan daripada heavyweights penting untuk mengekalkan momentum indeks, manakala pengambilan untung secara serentak dalam kaunter utama berpotensi memberi tekanan dengan pantas kepada FBM KLCI,” katanya.

Pelabur turut disaran memantau beberapa faktor luaran utama, termasuk prestasi Wall Street khususnya Nasdaq, jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), pergerakan ringgit serta harga komoditi.

Prestasi Nasdaq mempunyai pengaruh besar terhadap sentimen saham teknologi tempatan, manakala perubahan jangkaan terhadap hala tuju kadar faedah AS boleh mempengaruhi dolar AS dan aliran dana asing.

Tambahnya, pergerakan ringgit juga penting kerana mata wang yang lebih stabil atau kukuh berpotensi meningkatkan keyakinan terhadap aset Malaysia, walaupun kesannya berbeza mengikut sektor.

Menurutnya, harga komoditi khususnya minyak mentah dan minyak sawit perlu diberi perhatian kerana pergerakannya memberi kesan kepada kaunter tenaga, perladangan dan produk perindustrian.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, sektor perbankan, teknologi serta perkilangan dan pembuatan dijangka menjadi antara tumpuan pelabur di Bursa Malaysia minggu ini, didorong prestasi kewangan yang kukuh serta prospek perniagaan yang masih positif.

Katanya, sektor perbankan, perladangan, pembuatan dan perkhidmatan juga kekal menjadi pilihan kerana kebanyakan kaunter dalam sektor berkenaan mempunyai asas yang kukuh dan kurang terdedah kepada aktiviti spekulasi pelabur runcit jangka pendek.

“Pelabur ketika ini lebih cenderung membuat keputusan berdasarkan analisis teknikal tanpa terlalu mengambil kira sektor tertentu.

“Bagi kaunter yang sudah lama ‘sepi’, secara teknikalnya ia merupakan masa terbaik untuk membeli. Sebab itu sejak dua minggu lalu, kaunter-kaunter yang kurang popular menjadi antara yang paling aktif didagangkan,” katanya.

Mengulas momentum saham teknologi selepas indeks teknologi Malaysia mencatat paras tertinggi dalam tempoh dua tahun baru-baru ini, beliau berkata, momentum itu mungkin sukar dikekalkan.

Katanya, indeks teknologi jarang menjadi tumpuan utama pelabur dan kenaikan terkini berkemungkinan hanya bersifat sementara selepas saham teknologi sekian lama kurang mendapat sokongan belian.

Dalam pada itu, katanya, aktiviti dagangan dalam kaunter teknologi seperti SkyeChip dan Zetrix AI antara lain didorong oleh pelaksanaan pembelian balik saham serta pembelian besar-besaran oleh pihak pengarah.

Katanya, aktiviti berkenaan turut mungkin mencerminkan usaha sesetengah pelabur mengurangkan pegangan bagi mengehadkan kerugian sekiranya mereka menjangkakan risiko penurunan harga pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, pe­ningkatan jumlah dagangan tidak semestinya menunjukkan peralihan pelabur daripada saham teknologi kepada sektor defensif atau utiliti. – UTUSAN

The post Saham teknologi, utiliti jadi tumpuan pelabur minggu ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved