Penambahbaikan Subsidi Diesel Bersasar Diumum Dalam Dua Bulan - Amir Hamzah

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 4:17 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Penambahbaikan Subsidi Diesel Bersasar Diumum Dalam Dua Bulan - Amir Hamzah

TAWAU, 16 Ogos (Bernama) -- Beberapa penambahbaikan pelaksanaan sistem subsidi diesel bersasar sedang diteliti dan bakal diumumkan kerajaan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata langkah penambahbaikan itu, merangkumi penyederhanaan proses permohonan, kelonggaran kriteria kelayakan bagi isu kenderaan sambung bayar dan pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat.

“Kita masih menyelidiki beberapa cadangan penambahbaikan. Dalam sebulan dua ini, kita akan buat pengumuman berhubung penambahbaikan itu, terutamanya dari segi proses dan kelayakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama dengan pemain industri, di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata penyediaan Belanjawan 2027, akan memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar dapat disalurkan kepada rakyat secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Beliau berkata pendekatan itu sejajar dengan hasrat kerajaan, bagi memastikan setiap peruntukan yang dikeluarkan memberi impak nyata serta menyelesaikan isu beban kos sara hidup pada peringkat akar umbi.

“Melalui siri Jelajah Belanjawan 2027, kita sedang meneliti pelbagai penambahbaikan mekanisme subsidi diesel bersasar, supaya golongan yang benar-benar layak menerima manfaatnya secara optimum,” katanya.

Mengulas pelaksanaannya di Sabah, Amir Hamzah berkata kira-kira 120,000 pemilik kenderaan jenis pikap dan jip di negeri itu, dikenal pasti layak untuk memohon kuota subsidi diesel melebihi 300 liter.

Beliau berkata setakat ini, hanya kira-kira 49,000 pemilik kenderaan yang layak telah mendaftar dan mengemukakan permohonan.

“Kerajaan menggalakkan lebih ramai pemilik yang layak di Sabah untuk segera memohon, kerana kebolehan dan saluran permohonan telahpun disediakan,” katanya.

Amir Hamzah berkata bagi membantu golongan yang kurang celik teknologi, Kementerian Kewangan menjalin kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan syarikat minyak, untuk memberi bimbingan permohonan secara terus di kaunter serta stesen minyak.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved