Ringgit Mengukuh, Pasaran Menanti Rundingan Asia Barat

LocalBusiness & Finance
11 May 2026 • 11:00 AM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Ringgit Mengukuh, Pasaran Menanti Rundingan Asia Barat

Nilai ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pada Isnin apabila pelabur terus memantau rundingan damai yang sedang berlangsung berhubung krisis di Asia Barat.

Pada jam 10:03 pagi, ringgit didagangkan pada paras 3.9250 iaitu menurun 0.18% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran masih tertumpu kepada perang di Iran kerana perkembangan rundingan damai dilihat masih tidak menentu susulan laporan bercanggah mengenai kemajuannya.

Menurut beliau, kenaikan harga minyak dunia kini mula memberi tekanan kepada margin keuntungan perniagaan dan juga perbelanjaan pengguna di seluruh dunia, sekali gus berpotensi memperlahankan pelaburan serta penggunaan global.

Disebabkan itu, selera risiko dalam kalangan pedagang dijangka kekal berhati-hati.

Ketika laporan ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 3.55 peratus kepada $104.93 setong.

Dalam masa sama, laporan pekerjaan bukan perladangan (non-farm payrolls) AS menunjukkan peningkatan kepada 115,000 pada April berbanding jangkaan konsensus sebanyak 62,000.

Pasaran buruh AS masih kukuh dan Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah.

Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka bergerak dalam julat sempit kerana pedagang turut menantikan pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 pada Jumaat ini.

Beliau menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus mengekalkan trajektori pertumbuhan sihat sepanjang tiga bulan pertama tahun ini dan mungkin berterusan sehingga separuh pertama 2026.

Katanya, keadaan itu boleh memberi sokongan kepada ringgit kerana kerajaan dilihat proaktif dalam menyediakan tindak balas yang sesuai terhadap kejutan ekonomi semasa.

Pada awal dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama dunia dan kebanyakan mata wang ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4970/5010 daripada 2.5010/5040 pada penutupan Jumaat lalu.

Ia turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3248/3329 daripada 5.3354/3416 serta naik berbanding euro kepada 4.6095/6166 daripada 4.6121/6174 sebelumnya.

Berbanding mata wang serantau, ringgit turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0886/0936 daripada 3.0910/0948 pada Jumaat lalu.

Ringgit juga meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1322/1579 daripada 12.1640/1844 dan naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 225.3/225.7 daripada 225.4/225.7.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.46/6.47 berbanding penutupan Jumaat lalu. – Bernama

View Original Article